EntertainmentFeature

Jac Tak Nak Berlakon Lagi?

by Miss Ayu | 12 Aug 2009
  • Share

Percubaan pertamanya dalam dunia lakonan ternyata membuahkan hasil apabila Jaclyn Victor dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Harapan menerusi filem ‘Talentime’ di Festival Filem Malaysia ke 22 baru-baru ini. Jac yang membawakan watak Bhavani dalam filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu menumpaskan Heliza Helmi (‘Syurga Cinta’), Zalina (‘Jin Hutan’), Yasmin Khaniff (‘Jalang’) dan Yuhana Yahya (‘Histeria’).

Kemenangan julung-julung kalinya itu membuatkan ramai pihak yang mula berkira-kira pelakon ini bakal membintangi banyak filem selepas ini. Tetapi lain pula ceritanya dengan Jac. Menurut juara Malaysian Idol musim pertama ini dia mungkin tidak akan berlakon lagi. Dia mahukan fokus kepada karier nyanyiannya.


“Terus-terang saya katakan buat masa ini saya langsung tidak terfikir untuk berlakon lagi. Saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada nyanyian. Tetapi, ini bukanlah keputusan muktamad. Mungkin saya akan berlakon semula sekiranya dapat tawaran yang benar-benar bagus. Tetapi saya akan fikirkan semasak-masaknya dan tengok sama ada berbaloi atau tidak. Cuma buat masa sekarang ini memang tidak mahu berlakon. Rasanya untuk tempoh yang lama juga,” ujar Jac sambil menarik nafas dalam-dalam.

Kenyataan ini membuatkan pihak media agak terkejut, lantas ramai yang menyangka Jac bersedih atas kehilangan Allahyarham Yasmin Ahmad dan dia hanya mahu berlakon dalam filem arahan Yasmin. Bagaimanapun, pandangan ini disangkal oleh Jac.

“Memang saya bersedih dengan kehilangan Allahyarham Yasmin tetapi itu bukanlah sebab saya tidak mahu berlakon. Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu fokus pada nyanyian. Sangkaan yang saya hanya mahu berlakon di bawah arahan Yasmin juga tidak betul. Kalau saya ambil keputusan begitu, ia merugikan diri saya sendiri kerana Yasmin tidak akan kembali lagi. Sebenarnya masih ramai pengarah tempatan lain yang berbakat besar.  Kalau ditanya siapa pengarah yang saya teringin berkerjasama, saya akan katakan Afdlin Shauki, Shuhaimi Baba dan Ahmad Idham,” sambung Jac lagi.

Ditanya apakah pengalaman yang diperolehi daripada ‘Talentime’, Jac memberitahu Allahyarham Yasmin banyak memberi tunjuk ajar kepadanya tentang ilmu lakonan. 

“Ilmu yang diberikan oleh Yasmin cukup berharga kerana dengan berlakon dalam ‘Talentime’, saya sudah tahu bagaimana membawa diri ke dalam sesuatu situasi. Ilmu ini memang berguna kerana ia turut membantu saya lebih menghayati lagu-lagu yang ingin dibawakan dan ilmu ini saya praktikkan ketika proses rakaman album terbaru beberapa bulan lepas,” ulas Jac yang ditemui semasa sesi pra-dengar album terbaru di Sony Music Malaysia pagi semalam.

Album baru lebih ‘muda’
Bercerita tentang album terbaru penyanyi ini, kini selepas tiga tahun tidak hadir dengan album, Jac muncul dengan album ketiganya yang berjudul ‘Jaclyn Victor III’. Album yang memuatkan lagu-lagu berkonsepkan pop balada ini rata-ratanya mendapat sentuhan hebat daripada komposer, penulis lirik dan produser terkenal negara seperti Aubrey Suwito, Sharon Paul dan Nai Kong.

Malah, bagi menyuntik elemen baru yang segar, Jac juga berkerjasama dengan penerbit-penerbit baru seperti Anjang Jinbara, Gjie 6ixth Sense, dan Syed Nitrus. Pasti anda pernah mendengar lagu “Bertamu di Kalbu” yang digubah dan ditulis oleh Anjang Jinbara. Lagu yang menonjolkan elemen rock ini sangat berbeza dengan lagu-lagu yang pernah didendangkan oleh Jac sebelum ini. Satu percubaan yang cukup berani dan siapa sangka ia menjadi single pertama mendapat tempat di hati peminat.

“Saya mahu album saya kali ini berbeza dengan album saya yang terdahulu. Sebab itu saya cuba bekerjasama dengan beberapa ‘orang baru’ bagi mendapatkan apa yang saya mahukan. Secara keseluruhan, saya memang berpuas hati dengan album ini dan merasakan album ini lebih muda daripada segi susunan muziknya. Saya bukan sahaja fokus kepada lagu balada, tetapi ada juga lagu fast and catchy seperti “Jatuh Cinta” dan “Tentangmu”,” jelas Jac.

Satu lagi keistimewaan album ini ialah ia memuatkan sebuah lagu yang menghimpunkan 24 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh artis-artis ternama Malaysia suatu ketika dahulu seperti “Kau Ilhamku”, “Kamelia”, “Sekadar Di Pinggiran”, “Menaruh Harapan” dan “Gadis Melayu”. Lagu yang dimulai dan diakhiri dengan lagu “Gemilang” ini disusun semula oleh komposer terkenal Nai Kong dan dipendekkan menjadi 10 minit, lalu diberi nafas baru dan tersendiri oleh Jac.

Album ini mengandungi lapan buah lagu keseluruhannya dan ia akan berada di pasaran pada 20 Ogos hadapan pada harga RM31.90. Bagaimanapun, istimewa kepada mereka yang mahukan album ini lebih awal, album ini boleh dibeli secara online di www.sonymusic.com.my bermula 11 Ogos ini dengan harga pengenalan iaitu RM29.90 sahaja.


  

Comment
 
By Popfreak   8/13/2009 8:20:59 AM
Jac memang berbakat besar. Boleh pergi jauh. Semoga album ni dihargai peminat, media dan penkritik and dapat banyak awards!! Harap-harap Jac boleh hasilkan album rancak atau album English juga :)
By Fawwaz93   8/12/2009 10:08:55 PM
tak seperti album dia terdahulu, album terbaru jaclyn victor ni hanya ada lapan lagu sahaja, kalau negara macam us dan jepun, boleh buat album sampai lebih 10 lagu, sekarang album artis malaysia, kebanyakkan sekarang kurang daripada 10 lagu. apa dah jadi?
By raman   8/12/2009 6:43:34 PM
say memang peminat jaclyn victor.... pedapat saya album jac kali nie memang berbeza sangat dari album sebelum2 ini.. dari segi muzik,cara jac membawa lagu itu,dan vokal jac banyak diketengahkan..maksud saya vokal jac bagi part yang tinggi memang ketara dan saya boleh tengok dalam setiap lagu... saya boleh jangkakan album nie akan tersenarai dalam AIM 17 dan akan menang award dari antarabangsa,saya percaya tue..pada siapa yang tak percaya cuba cari album jac yang lama dan bezakan dengan album
Total Comments: 3 of 3
Add your comment

Name

Email

Comment

 

 
Video Call
Gua Muzik