|
26 Mac 2008
Majlis pra tonton ‘Evolusi KL Drift’ telah diadakan di GSC, Mid Valley Megamall baru-baru ini. Pelakon, penerbit, penaja, wakil media serta ahli MyTV3 bersama-sama meraikan buah tangan sulung Syamsul Yusof ini.
Dalam ucapan ringkasnya, Syamsul berterima kasih kepada bapa, Datuk Yusof Haslam yang memberi kebenaran untuk menerbitkan filem ini. Shamsul yakin filemnya mampu menarik minat golongan muda yang gemarkan aksi lasak sukan drift.
Ahmad Puad Onah, mewakili Grand Brilliance Sdn Bhd, pula percaya kepada sambutan peminat walaupun ini adalah filem pertama daripada Syamsul.
“Idea untuk menerbitkan filem usahasama dengan Skop Productions timbul beberapa tahun lalu. Walaupun ini pertama kali kami bergandingan dalam filem, tetapi tidak untuk drama,” katanya.
Kehadiran ramai tetamu pada malam itu menyebabkan ada yang terpaksa duduk di tangga sahaja. Keceriaan jelas terpancar pada wajah Syamsul Yusuf, anak teruna Datuk Yusof Haslam yang pertama kali mengarahkan filem.
“Walaupun Syamsul anak saya, sebagai penerbit, saya tetap melihat skrip yang diberikan. Sebenarnya sudah beberapa kali Syamsul meminta saya menerbitkan filem arahannya, tetapi ditolak beberapa kali.
“Melihat kepada skrip dan ketika membuat lawatan melihat hasil kerja Syamsul, saya yakin kemampuannya. Melihat kepada beberapa aspek seperti lampu dan stunt yang digunakan, saya sendiri tidak mampu berbuat seperti apa yang Syamsul lakukan. Kalau nak ikutkan, macam-macam lagi permintaannya, tapi melihat kepada kos yang melebihi daripada yang sepatutnya, saya menasihatkannya agar berpada-pada,” kata Datuk Yusof Haslam.
| |
‘Evolusi KL Drift’ dibintangi Syamsul, Fasha Sandha, Farid Kamil, Aaron Aziz, Iqram Dinzly, Buzen, Hetty Sarlene, Diana Danielle, Rizal Ashraf, XY dan ramai lagi.
Selain mengarah, Syamsul memegang watak utama bergandingan bersama Fasha Sandha. Wataknya sebagai Zack, anak muda yang terlalu mengongkong kekasih serta panas baran.
|


|