|
Bagi mereka yang minat sinetron Indonesia, bermula 29 Mei anda akan disajikan dengan siri 65 episod yang berjudul ‘Anakku Bukan Anakku’.
Ia dibintangi barisan pelakon yang sedang melonjak naik di Indonesia iaitu Nabila Syakieb, Roger Danuarta, Raya Kohandi, Krisna Mukti, Raslina Rasidin dan Eng Saptahadi. Malah drama ini juga berjaya mempopularkan teraju utama, Nabila yang memegang watak Tatia sementara Raya pula mendukung watak sebagai Adel.
Hasil arahan Salim Tariq dan Key Mangunsong, drama ini memaparkan kehidupan pasangan suami isteri bernama Bayu dan Rona yang hidup miskin dan sentiasa diuji. Kehidupan Bayu bertambah pahit apabila dia diberhentikan kerja ketika isterinya sarat mengandung. Hatinya bertambah remuk apabila dia tidak mampu membiayai perbelanjaan hospital untuk merawat isterinya yang sedang sarat.
Bayu tekad menukar nasib keturunannya agar anaknya itu dapat menikmati hidup bahagia tanpa derita seperti yang ditanggungnya. Bayu menukar bayinya yang bernama Adel dengan bayi milik jirannya pasangan Nico dan Vivian bernama Tatia.
16 tahun berlalu, Adel dan Tatia membesar sebagai remaja yang cantik dan berpendidikan . Walaupun menjalani kehidupan bukan dengan ibu bapa masing-masing, Adel telah mewarisi sifat-sifat buruk ibu bapanya dan Tatia pula mewarisi sifat terpuji bapanya. Sementara Adel hidup dalam kemewahan, kesucian hati Tatia pula sering diuji.
|
Dapatkah Tatia mengenali keluarganya yang sebenar dan berpeluang untuk hidup bahagia? Apakah pula kesudahan nasib Bayu setelah melakukan banyak angkara buruk terhadap orang yang tidak bersalah?
‘Anakku Bukan Anaku’ ke udara setiap Isnin hingga Khamis, jam 2.30petang.
|

|