2 Telefilem OutLOUD Semarakkan Ramadhan

10 Aug 2012, 01:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadhan ini, outLOUD Studios bakal menyajikan kepada anda dengan dua buah telefilem menarik berjudul, ‘Ego’ dan ‘Nasi Yong Lemak Tau Fu’. Bersiaran di TVi, dua telefilem ini diarahkan oleh Mohd Azhar Khalid atau lebih dikenali sebagai Apache.

‘Ego’ yang disiarkan pada 11 Ogos 2012, jam 12.05 tengah hari ini bakal menampilkan pelakon hebat seperti Fauzi Nawawi, Eja dan Eira Syazira. Telefilem ini bukan saja membawa mesej yang cukup bermakna bagi pasangan yang sudah berkahwin namun sangat sesuai untuk individu yang mempunyai sifat ego dan berkira terhadap pasangan.

Telefilem ini mengisahkan tentang Eja yang memegang watak sebagai Marina. Beliau mempunyai sikap mementingkan diri dan ego terhadap suaminya, Rafiq (Fauzi Nawawi). Biarpun Rafiq di dalam kesusahan, Marina masih tidak mahu membantu suaminya.

Rania lakonan Eira Syazira yang merupakan sahabat baik Marina tidak berpuas hati dengan tindakan dan perlakuan Marina terhadap Rafiq kerana sanggup membiarkan suaminya menanggung kesusahan sendiri. Adakah Marina akan tunduk dengan egonya dan adakah rumahtangga mereka akan kekal dengan sikap egonya itu? Sama-sama kita saksikan ‘Ego’ pada Sabtu, 11 Ogos 2012, jam 12.05 tengah hari.

Sebuah lagi telefilem yang bakal mewarnai kaca televisyen pada bulan Ramadhan ini ialah ‘Nasi Yong Lemak Tau Fu’. Bergenrekan komedi, ‘Nasi Yong Lemak Tau Fu’ ini berkisarkan mengenai pertemuan yang tidak disengajakan antara Weni (Julie Woon) dan Khaidir (Amar Ashraf) yang berlainan bangsa. Semuanya bermula apabila mereka tertukar makanan di dalam bas yang membawa kepada satu perkenalan yang lebih serius.

Dalam telefilem ini diselitkan juga bagaimana cara mereka untuk memenangi hati bapa Weni dan cabaran yang terpaksa mereka lalui. ‘Nasi Yong Lemak Tau Fu’ bakal disiarkan di saluran TVi pada hari Ahad, 12 Ogos 2012, jam 12.05 tengah hari. Jadi, luangkan masa anda hujung minggu ini untuk menyaksikan dua telefilem terbitan outLOUD Studios, ‘Ego’ dan ‘Nasi Yong Lemak Tau Fu’ di TVi.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad