4 Lagenda Gamatkan Stadium Merdeka

2 Jul 2012, 11:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Walaupun kurang mendapat sambutan di tiga lokasi sebelum ini, namun konsert yang menyatukan empat nama besar dalam industri nyanyian, ‘The Legendary Concert 2012’ akhirnya melabuhkan tirai persembahan dengan jayanya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.

Menampilkan empat lagenda terkemuka, Jamal Abdillah, Dato’ Sheila Majid, Zainal Abidin dan Amy Search, konsert pada malam itu menyaksikan kira-kira 10,000 orang membanjiri stadium tersebut. Ini sekaligus mengembalikan nostalgia konsert berbayar serta membuktikan anak tempatan juga mampu merealisasikan konsert bertaraf antarabangsa.

Tirai konsert yang bermula jam 9.00 malam ini dibuka dengan persembahan dari Raja Pop, Jamal Abdillah. Klip video filem Azura ditayangkan sebagai gimik permulaan sebelum Jamal tampil menyanyikan lagu hits tersebut. Jamal kemudian menyampaikan lagu Rap, ‘Aku Maafkan Kamu’ diikuti dengan lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’ dan ‘Gadis Melayu’. Walaupun kedengaran nafas yang agak semput, namun Jamal berjaya mengakhiri persembahan solonya dengan lagu yang cukup menyentuh jiwa, ‘Seniman Menangis’ dengan iringan tiupan saksafon dari Jimmy Sax.



Persembahan malam itu dihangatkan lagi dengan penampilan Ratu Jazz Malaysia, Dato’ Sheila Majid. Menyanyikan lagu-lagu hitsnya, ‘Warna’, ‘Pengemis Muda’ dan ‘Ku Mohon’, penyanyi bertubuh genit ini mendapat tepukan gemuruh dari penonton yang hadir. Lebih istimewa, penyanyi ini buat pertama kalinya menggabungkan tiga pengarah muzik yang sentiasa bekerja bersamanya, Jenny Chin, Mac Chew dan Acis di atas satu pentas mempersembahkan lagu ‘Dengarkanlah’.



Dato’ Sheila kemudian menyampaikan medley lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, ‘Bunyi Gitar’, ‘Bila Larut Malam’ dan ‘Manusia’. Semestinya tidak lengkap jika penyanyi yang sudah 27 tahun bertapak dalam industri ini tidak menyanyikan lagu popularnya,  ‘Aku Cinta Padamu’, ‘Lagenda’, ‘Antara Anyer dan Jakarta’ dan ‘Sinaran’. Ternyata, lagu-lagu tersebut masih ‘berhantu’ apabila peminat turut sama menari serta menyanyikan lagu tersebut.

‘The Legendary Concert 2012’ diteruskan lagi dengan kemunculan bekas vokalis Headwind, Zainal Abidin dengan lagu ‘Bongkar’ dan ‘Damai IV’. Penampilan beliau di atas pentas cukup menghiburkan apatah lagi dengan jenaka spontan yang disampaikan. Zainal kemudian menyampaikan lagu popularnya ketika bersama Headwind, ‘Suraya’ dan ‘Memori Luka’.



Penyanyi yang mula berkecimpung dalam industri sejak 30 tahun lalu ini kemudian menyampaikan lagu hitnya, ‘Kau Di Hatiku’, ‘Manis’ dan ‘Orak-Arek’. Dalam konsert yang berlangsung selama tiga jam ini, Zainal turut mempersembahkan dua lagu barunya, ‘Kamu’ dan ‘Alam’ ciptaan Ajai. Walaupun masa tidak mengizinkan, namun kerana tidak mahu menghampakan peminatnya, Zainal sempat menyampaikan satu verse lagu ‘Puteri’ sebelum mengakhiri persembahannya dengan lagu wajib yang menaikkan namanya sejak tahun 1992 iaitu ‘Hijau’.



Kehadiran Raja Rock, Amy Search menggegarkan lagi Stadium Merdeka pada malam itu dengan medley lagu dari album solonya serta lagu bersama kumpulan Search antaranya ‘Tiada Lagi’, ‘Saatku Idamkan’, ‘Kepala Sotong’, ‘Gadis Ku’, ‘Kerja Gila’, ‘Isi Atau Kulit’, ‘Kongkang’ dan ‘Pawana’. Gesekan biola mengiringi persembahan akhir Amy dengan lagu ‘berhantu’nya, ‘Isabella’. Menariknya, Zainal dan Jamal juga turut muncul menyanyikan lagu tersebut bersama Amy.

Tirai konsert hebat ini diakhiri dengan paduan suara empat lagenda tersebut menerusi lagu ‘Ikhlas Tapi Jauh’. Keseluruhannya, konsert malam itu sangat menghiburkan dengan persembahan hebat dari empat penyanyi otai negara. Tidak keterlaluan GUA katakan, tidak rugi anda membelanjakan wang untuk tiket paling mahal RM600 kerana konsert ini memang bertaraf lima bintang dengan adanya empat lagenda bertaraf antarabangsa ini. GUA tabik kepada penganjur, terutamanya Zainal Abidin kerana berani dan berjaya mengembalikan nostalgia konsert berbayar walaupun pada mulanya ia agak kurang mendapat sambutan.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad