4 Telefilem Raya Pilihan GUA

20 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Setiap kali Aidilfitri menjelma, pasti kita menantikan beberapa filem pecah panggung ditayangkan di stesen-stesen televisyen kegemaran. Maklumlah, bukan semua filem yang sempat ditonton di pawagam. Selain filem, kita juga ternanti-nantikan telefilem yang mampu mengusik perasaan. Entah mengapa, telefilem sebegini mudah mendapat tempat apabila mood raya bersarang di hati. Pucuk dicita ulam mendatang. Bagi meneruskan kesinambungan ini, TV3 tidak lupa menyusun beberapa telemovie hebat untuk tontonan anda.

Daripada 10 telefilem yang dijanjikan, GUA memilih empat buah telefilem yang dirasakan patut ditonton bersama keluarga. Selain membariskan pelakon-pelakon hebat dan popular, GUA percaya jalan ceritanya cukup kuat dan pasti menyentuh perasaan. Jom! semak senarai di bawah:-

1) Takbir Along Untuk Angah, Raya Ketiga (21 Ogos, Selasa), 4.00 petang – 6.00 petang
Pelakon: Eja, Aida Khaleeda, Jue Aziz, Adik Naim Daniel, Adik Farah Nadiah

Amir (Along) dan Amri (Angah) tinggal bersama nenek mereka, Normah di Kuala Lumpur selepas kematian ayahnya, Saiful. Ibu mereka, Hayati terpaksa berkorban demi pelajaran mereka. Normah bijak memujuk Along dan Angah bahawa mereka akan pulang ke kampung pada Hari Raya Puasa nanti. Hayati hidup dalam kerinduan terkenangkan anak-anaknya. Dia semakin tertekan apabila hasil getah di kebun telah dicuri. Sementara itu, kehidupan Along dan Angah pada awalnya sangat ceria dan dilayan baik oleh Normah. Namun segalanya berubah semenjak kepulangan anak bongsu Normah iaitu Azura yang baru bercerai dengan suaminya. Azura sememangnya tidak menyukai Along dan Angah kerana dari dulu dia tidak sukakan Hayati yang berkerja di kelab malam. Malah, dia juga khuatir harta pusaka ibunya akan jatuh ke tangan dua beradik itu. Telahannya benar apabila harta pusaka dibahagikan kepada mereka. Azura mengambil tindakan drastik.

2) Di Bawah Langitmu, Raya Ketujuh (25 Ogos, Sabtu) , 10 malam
Pelakon: Nora Danish, Sharnaaz Ahmad, Nad Zainal, Ako Mustafa, Liza Abdullah, Rosnah Johari, Zaidi Omar

Annur merupakan gadis yang menjadi igauan hampir setiap anak muda dalam kampung itu. Dia merupakan seorang yang cantik, lembut dan warak. Annur bakal disatukan dengan Farid pada Aidilfitri yang bakal menjelang. Osman, abang angkat Annur di sekolah yang mahu memperisterikan Annur kecewa dengan berita tersebut. Sikapnya yang panas baran dan kaki pukul membuatkan pinangannya ditolak oleh keluarga Annur. Yazid yang berdendam dengan Osman telah memasang perangkap supaya Annur dengan Osman ditangkap khalwat. Keluarga Annur menyatukan Osman dengan Annur demi menjaga maruah keluarga mereka. Osman telah berubah selepas berkahwin dan menatang Annur macam minyak yang penuh. Annur semakin bahagia apabila dia disahkan mengandung. Namun, rumahtangga mereka mula tergugat selepas Osman ditipu oleh rakan kongsinya. Osman kembali kepada tabiat asalnya dan Annur sering dikasari. Persoalannya,mampukah percintaan mereka menemui kebahagian hingga ke akhirnya?

3) Perempuan Tanpa Rahim, Raya Ketujuh (25 Ogos, Sabtu), 5.00 petang – 7.00 petang
Pelakon: Eja, Normah Damanhuri, Putri Mardiana, Harun Salim Bachik, Faiz Fadzil, Razali Husain, Azhan Rani, Khatijah Tan.

Sejarah hitam pernah dirogol ketika usianya 26 tahun menghantui Kamariah sehinggalah ke usia tuanya. Sewaktu kejadian berlaku Kamariah telah diselamatkan oleh Malim. Malim telah menaruh hati dan berhasrat untuk memperisterikan Kamariah sedangkan Malim sudah pun mempunyai isteri. Mereka
membuat pengakuan kepada orang tua masing-masing bahawa mereka keterlanjuran. Isteri Malim, Fatimah telah meminta cerai kepada Malim kerana malu dengan perbuatan suaminya. Kamariah pula ingin gugurkan kandungannya tetapi dihalang Malim sehinggalah bayi tersebut dilahirkan dan diberi nama Syahidah. Kewujudan Syahidah telah menimbulkan rasa benci Kamariah kepada anaknya itu. Disebabkan peristiwa hitam itu juga Kamariah tidak dapat memaafkan dirinya malah dia turut memusnahkan hubungan kasih sayang anak-anaknya sendiri.

4) Pelita Buluh Tok Wan, Raya Kelapan (26 Ogos, Ahad), 5.00 petang – 7.00 petang
Pelakon: Dato’ Ahmad Tarmimi, Vanida Imran, Fizz Fairuz, Remy Ishak, Siti Saleha, Fadhilah Mansor

Keakraban Tok Wan dengan anak-anaknya iaitu Azman dan Azimah kekal hingga mereka berkahwin dan masing-masing mempunyai anak. Azman kini tinggal di Kuala Lumpur dan kehidupannya sangat selesa. Azimah kurang berjaya dalam pelajaran malah dia juga seorang yang lurus bendul. Azimah bertemu jodoh dengan bekas anak murid Tok Wan iaitu Razak dan mereka mempunyai seorang anak lelaki, Syakir. Ketika pulang dari pekan Azimah dan Razak terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia.

Sejak itu, Syakir telah dijaga oleh Tok dan Tok Wan ketika usianya tujuh tahun lagi. Hakikatnya, setahun sebelum kematian Azimah lagi hubungan Tok Wan sekeluarga telah berubah. Hal tersebut terjadi ketika Azman terdengar perbualan antara Tok Wan dan Tok mengenai pertukaran nama dan geran rumah ke atas nama Azimah. Azman tidak berpuas hati, kerana dia merasakan haknya sebagai anak sulung telah dinafikan sehingga berlaku perang besar antara, Tok Wan, Tok dan Azimah. Akhirnya, Azman membawa keluarganya pulang ke Kuala Lumpur dan tidak pulang ke kampung lagi.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad