Achey Mahu Jadi Penghibur Tersohor

24 Jun 2013, 03:56am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas hampir 3 bulan berentap di gelanggang Bintang Mencari Bintang (BMB), program realiti yang mengetengahkan bakat komedi serta nyanyian ini akhirnya berjaya menemui bintangnya apabila Achey diumumkan sebagai juara pada Konsert Akhir BMB yang disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, malam Ahad. Achey berjaya menewaskan Bocik di tangga kedua, diikuti dengan Titan di tempat ketiga dan tempat keempat, Tapaw.

“Alhamdulillah terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T kerana telah melimpahkan kurniaan serta rezeki kepada saya sehinggakan saya telah dapat anugerah yang tidak pernah saya sangkakan dan impikan selama ini. Saya juga berterima kasih kepada sifu saya, Abang Harun Salim Bachik kerana banyak memberikan peluang dan pengajaran yang begitu baik semasa saya di bawah pimpinannya. Begitu banyak pengalaman dan jasa yang ditaburkan oleh abang Harun sehingga saya dapat bergelar juara,” katanya pada GUA.

Achey ketika ditemui mengakui tidak sangka dengan kemenangannya pada malam tersebut kerana menganggap persaingan yang diberikan oleh rakan-rakan seperjuangannya yang lain cukup hebat dan membanggakan. Walaupun pola persembahan Achey ada naik dan turun ketika peringkat konsert mingguan, namun Achey berjaya meletakkannya sebagai juara BMB musim pertama sekaligus membuktikan dirinya sebagai penghibur terbaik di kalangan yang terbaik.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak jemu menyokong saya sehingga saya diangkat menjulang sebagai juara pada malam ini dan saya berharap peminat sentiasa menyokong saya walaupun di mana saya berada selepas ini. Saya akui sebelum memasuki pusingan akhir ini banyak juga kesilapan yang saya buat di mana adakalanya baik dan adakalanya juga mendapat kritikan. Alhamdulillah pada malam ini saya telah buktikan segala-galanya kepada penonton dan juga juri-juri yang selalu memberikan komen-komen yang membina kepada diri saya,” ujarnya.

Membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 200,000 berserta hadiah iringan lain, Achey merancang untuk memperkukuhkan lagi perniagaannya. Achey juga merancang untuk terus bergiat aktif dalam lapangan seni ini agar namanya terus kukuh serta diingati sebagai penghibur tersohor.

“Mungkin hadiah tersebut akan saya gunakan untuk memperkembangkan lagi bisnes di bengkel saya dan mungkin selebihnya digunakan untuk keluarga. InsyaAllah juga sekiranya diberi peluang saya akan terus bergiat aktif dan mencuba benda-benda baru dalam bidang seni tanah air ini. Saya akan terus memperbaiki segala kelemahan saya agar menjadi lebih baik daripada apa yang telah saya ada sekarang ini,” katanya pada GUA.

Syabas dan tahniah GUA ucapkan kepada Achey dan juga mentornya Harun Salim Bachik di atas kemenangan mereka dan tidak lupa juga kepada finalis-finalis yang lain iaitu Bocik, Titan dan Tapaw. Selamat Datang GUA ucapkan kepada anda semua ke dunia seni tanah air dan semoga anda terus memperoleh kejayaan.

Google Ads


Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)