Adi Putra Risau Dengan Suami Aku Ustaz

9 May 2013, 10:10am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Menjadi pengarah bersama dengan Ghaz Abu Bakar dalam filem sulung terbitannya, 'Suami Aku Ustaz', aktor kacak Adi Putra mengakui bahawa tugas sebagai pengarah adalah sukar. Tidak gementar untuk menjadi pengarah, sebaliknya dia risau dengan kerja yang dilaksanakannya kerana ingin memberikan yang terbaik kepada penonton.

“Pertama kali saya mengarah filem, ianya agak istimewa kerana terdapat dua pengarah untuk filem ini. Saya lebih menumpukan kepada ‘characterisation’ setiap pelakon dan tempo sesebuah lakonan. Selebihnya saya serahkan kepada Ghaz,” ulas Adi mengenai tugas yang dipikulnya.

“Penggambaran filem ini baru sahaja dimulakan dan akan mengambil masa dalam 30 hari, insya-Allah. Setakat ini saya akan mengarahkan 'Suami Aku Ustaz' sahaja kerana terdapat sesuatu yang istimewa dalam naskah itu yang saya sukakan, selain filem ini mengangkat genre Islamik,” ujar aktor yang baru sahaja muncul dengan filem 'Langgar'.

Menggalas watak Ehsan dalam drama bersiri terbaru slot Akasia, ‘Teduhan Kasih’ di samping Sherry Ibrahim, Shah Iskandar dan Nabila Huda, Adi menjelaskan bahawa setiap karakter yang dibawanya akan diberikan suntikan kelainan. Seperti karakter Ehsan, dia memberikan kelainan dari segi graf karakter yang dibawakannya dalam drama ini.

“Saya cuba memberikan kelainan dari segi ‘internal’ dan penghayatan watak agar setiap karektor yang saya galas akan tampil berbeza. Cuma kalau saya nak ubah muka tu, memang tak bolehlah,” seloroh Adi ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Drama ‘Teduhan Kasih’ di Sri Pentas.

Mengulas mengenai gambarnya yang menyarungkan baju Barisan Nasional dalam satu kempen calon Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-13 di Melaka baru-baru ini yang diprovokasikan oleh sesetengah pihak, Adi menjelaskan tiada sesiapa yang memaksanya untuk menyarungkan baju tersebut. Dia menjelaskan bahawa itu merupakan salah satu tanda sokongan ikhlasnya kepada kerajaan yang mentadbir negara Malaysia.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)