Adibah Noor Pikul Dua Tugas Di Konsert Amal
Menjawat profesion sebagai guru Bahasa Inggeris lebih kurang 20 tahun yang lepas membuatkan Adibah Noor berasa bertanggungjawab untuk terlibat dalam aktiviti amal melibatkan kanak-kanak dan pendidikan awal.
Konsert amal The National One Child One Hope yang akan diadakan di Dewan Plenary, KLCC pada 30 Jun ini bakal menyaksikan Adibah dan beberapa lagi selebriti seperti Zamil Idris dan Chloe Chen berkongsi pentas bersama 1000 kanak-kanak dari Smart Readers Kids.
Bertanggungjawab selaku pengacara majlis dan juga bakal mengadakan persembahan di konsert tersebut, Adibah menyatakan profesion guru mengajarnya untuk lebih berdisiplin dengan masa.

“Agak susah untuk mengacara dan pada masa yang sama membuat persembahan. Tapi pernah menjadi seorang guru menjadikan saya seorang yang lebih berdisiplin dan tahu mengurus masa”, katanya ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Amal The National One Child One Hope di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang baru-baru ini.
Artis yang dikenali menerusi lagu Terlalu Istimewa ini menyatakan dia akan menyanyikan lagu-lagu yang bersemangat di konsert tersebut.

“Saya mungkin akan menyanyikan lagu The Greatest Love Of All nyanyian Whitney Houston dan semestinya lagu Terlalu Istimewa”, tambah Adibah.
Konsert amal ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk menerima pendidikan awal di pra-sekolah.
Dianjurkan oleh Smart Reader Worldwide, dianggarkan 3000 orang akan hadir memberi sokongan di konsert tersebut.


