Allah Hantar Redza Kepada Saya - Irma

29 Jun 2012, 11:49pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Pertemuan di Tanah Suci Mekah pada Februari , diikuti dengan majlis merisik dan bertunang pada 12 dan 29 Mac lalu, kini diakhiri dengan sebuah ikatan suci perkahwinan. Pelakon Irma Hasmie kini sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Redza Syah Azmeer Datuk Mohd Radzuan, dengan hanya sekali lafaz, petang semalam.

Tatkala sah diijabkabulkan, pengacara Al-Hijrah ini dilihat menitiskan air matanya. Ditemui selepas majlis akad nikah, Irma yang ayu mengenakan busana berona putih ini mengakui berasa sebak kerana hubungan yang terjalin tidak sampai lima bulan itu berjalan dengan lancar.

“Saya sangat terharu sebab hari ini (Jumaat) sangat istimewa sekali di mana dari awal perkenalan kami, perjalanan yang Allah bagi sangat mudah. Ramai yang membantu saya dan sebab itulah saya rasa sedih sangat,” ujarnya dalam nada sebak.

Ditanya mengenai perasaannya apabila sudah bergelar isteri, Irma memberitahu, “Sukar untuk mengungkapkan perasaan saya dengan kata-kata namun syukur Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya berdebar sangat-sangat, namun Alhamdulillah, Allah permudahkan segala-galanya.”

Menceritakan detik perkenalan mereka, bekas pengacara Galaksi ini memberitahu, “Saya bertemu dengannya di Mekah, ketika itu saya mengerjakan umrah. Ketika tawaf umrah yang ketujuh saya bertemu dengan keluarganya dan ibu dia mula menegur saya. Dari situ bermulalah detik perkenalan kami dan ketika nak pulang ke sini, ibu dia sempat menyampaikan hajat untuk menjodohkan saya dengan dia,” ujar Irma sambil mengakui yakin dengan hubungan yang terjalin dalam masa singkat ini.

“Pertemuan kami terjalin di waktu, keadaan dan tempat yang benar, jadi kami tak rasa was-was dan ragu-ragu lagi. Itulah yang membuatkan kami meneruskan ke tahap seterusnya. Ramai juga orang bertanya kepada saya kenapa pilih dia.

“Sebenarnya, bukan saya yang pilih dia, Allah yang hantar dia untuk saya. Saya rasa ini adalah anugerah dan hadiah yang paling berharga buat saya. Saya rasa bersyukur sangat-sangat sebab saya tak sangka perjalanannya begini. Bagi saya, dia sangat boleh dipercayai, bertanggungjawab dan penuh dengan rasa kasih sayang,” jelas Irma mengakui teruja untuk merasai nikmat kehidupan bercinta selepas berkahwin.

“Saya rasa suspen, adventure dan tertanya-tanya bagaimana rasanya bercinta selepas berkahwin. Pada masa yang sama, saya juga berasa teruja nak tunggu bagaimana agaknya keindahan bercinta selepas berkahwin. Mungkin ia mendapat lebih berkat daripada Allah dan saya percaya, berkat itu sendiri adalah kunci kebahagiaan dalam rumahtangga.”

Ditebak mengenai perancangan bulan madu dan juga cahayamata, wanita berusia 30 tahun ini memberitahu, “Antara hajat besar kami adalah untuk pergi ke Mekah. Jika ada rezeki lebih bolehlah mengerjakan Haji, tapi jika tidak pun, kami akan mengerjakan umrah dulu.

“Kami sentiasa berdoa untuk menjadi tetamu Allah dan pergi ke rumah-Nya. Mengenai percutian bulan madu pula, belum ada perancangan ke mana-mana sebab kami belum sempat berbincang lagi kerana sibuk menguruskan majlis perkahwinan.

“Soal zuriat pula, saya tak merancang kerana zuriat itu antara rezeki besar dari Allah, jadi takkan kita nak sekat. Kalau Allah bagi rezeki itu awal kepada kami, Alhamdulillah,” ujar Irma mengakui masih lagi akan aktif dalam bidang seni walaupun sudah bergelar isteri.

“Dari segi kerjaya, tak ada masalah kerana saya masih lagi akan aktif dalam bidang pengacaraan dan lakonan apatah lagi kerjaya itu juga merupakan satu ibadah. Setakat ini, perjalanan seni masih biasa cuma waktu sajalah yang saya kena bahagikan. Kalau dulu saya bujang, tapi sekarang dah berumahtangga. Maka tambahlah lagi satu komitmen baru iaitu tanggungjawab saya sebagai isteri, jadi saya kenalah bijak mengaturkan masa.”

Sebelum mengakhiri perbualan, Irma sempat memberitahu, “Saya sentiasa berdoa agar saya dan suami akan menjadi suami isteri yang beriman serta bertaqwa. Selain itu, kami turut berharap agar dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Saya juga sentiasa berdoa agar kami akan menjadi ibu bapa yang soleh dan solehah kelak.”






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad