Alyah Tempah Biskut Raya Beratus Botol!
Ramadhan tahun ini Alyah buat keputusan untuk tidak menerima sebarang undangan nyanyian. Hanya memenuhi beberapa undangan berbuka puasa. Jelas Alyah, selain mahu menghormati bulan mulia ini, dia juga sebenarnya memerlukan cuti setelah beberapa lama sibuk dengan kerja.
“Saya memang perlukan cuti ini sebab sudah terlalu lama saya tidak dapat bercuti kerana terlalu sibuk dengan kerja. Ramadhan kali ini saya luangkan masa di rumah bersama keluarga. Sambil bercuti bolehlah buat persiapan raya sedikit. Macam tahun-tahun sebelum ini, saya hanya beraya secara sederhana. Lebih banyak buat persiapan untuk emak dan anak angkat. Untuk saya cukuplah sepasang baju raya sahaja,” ujar Alyah.
Ditanya sama ada dia akan membuat biskut raya sendiri, penyanyi pujaan ramai ini cepat-cepat menafikan. Jelas Alyah, dia hanya memborong biskut raya daripada seorang pengusaha di Simpang Renggam, Johor.
“Dalam beberapa tahun ini saya hanya beli sahaja. Saya beli daripada orang yang sama di Simpang Renggam. Biskut yang disediakan memang lazat sebab itu saya tidak cari lain. Setiap kali buat tempahan, saya akan habiskan beribu Ringgit untuk beratus botol biskut yang pelbagai jenis. Walaupun banyak, kesemua biskut yang ditempah ini selalunya habis sebab ramai yang datang beraya di rumah. Kanak-kanak sekarang pun suka makan biskut raya, tidak seperti zaman saya kecil-kecil dahulu,” cerita Alyah.
Kalau bajet untuk biskut raya sahaja sudah beribu Ringgit, bagaimana pula dengan bajet duit raya? Pasti lebih banyak bukan?
“Tahun ini saya tidak pasti lagi jumlah duit raya yang perlu saya keluarkan. Mungkin tidak sebanyak tahun lepas sebab tahun ini saya akan beraya di beberapa tempat. Tapi, rasanya mencecah ribuan Ringgit juga. Saya tidak kisah pun belanja besar untuk duit raya ini sebab bukannya selalu. Setahun sekali sahaja,” ujar Alyah.


