Amerul Affendi Perjelas Isu Buang Bayi

11 May 2012, 03:51pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas dipentaskan di Stor Teater DBP, Rumah Anak Teater sekali lagi tampil dengan karya Sejarah Nasib Lepas (SeNaPas) di pentas yang lebih besar di The Actors Studio, Lot 10 pada Mei ini.

Diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy, teater SeNaPas musim terbaru ini akan dibintangi oleh pelakon filem Bunohan, Amerul Affendi dan Aznah Binti Mohamed Ramli.

SeNaPas berkisar mengenai Razak (Amerul Affendi), seorang anak muda yang dikatakan berpendirian matang yang hadir dari keluarga yang mengamalkan kehidupan yang bertitik tolak dari rasa cinta.

Pertemuan Razak dengan Kamariah (Aznah) iaitu guru tuisyennya telah memutikkan sebuah rasa cinta diantara mereka  akhirnya merubah kehidupan Razak kepada kehidupan yang benar-benar matang. Kamariah yang lebih berusia daripada Razak telah berjanji untuk bersama Razak demi cinta mereka walaupun keluarga kedua-dua pihak membantah keras, mereka akhirnya telah bersekedudukan jauh daripada keluarga dan hidup sebagai sepasang suami Isteri yang sah.

Maka bermulalah KISAH CINTA BERNAFAS HARAM. Setelah lama bersekedudukan, pada suatu hari Kamariah hamil dan mereka sepakat untuk menggugurkan kandungan. Pelbagai kaedah telah dilakukan tetapi semuanya gagal. Suatu hari, saudara Kamariah berjumpa Kamariah dan mengetahui keadaan Kamariah lalu memberitahu keluarganya.

Razak dan Kamariah teruk dibelasah oleh keluarga masing-masing. Akhirnya mereka bersetuju membenarkan pasangan ini bernikah sehingga tempoh berpantang tamat kemudian mereka dikehendaki berpisah dan anak itu diserahkan kepada pihak lain.

Selepas melahirkan, Kamariah dan Razak seakan berat hati untuk menyerahkan anak mereka dan berharap agar kedua-dua orang tua mereka berubah hati dengan keputusan terdahulu apabila melihat anak mereka.

Menurut Amerul, dia berharap pementasan ini dapat memberikan mesej yang cukup jelas kepada masyarakat tentang isu kemanusiaan dan masalah sosial di kalangan remaja.

Jelas pelakon teater Air Con ini lagi, teater ini merupakan usahasama penggiat seni yang lahir dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dari jurusan seni persembahan. Bersesuaian asas penubuhan kumpulan ini untuk memastikan kesinambungan kerja seni mereka.

Diterbitkan oleh Rumah Anak Teater atau nama singkatannya RAT, kumpulan itu diasaskan oleh Nam Ron bersama beberapa anak muda graduan ASWARA. RAT adalah sebuah kumpulan yang dianggotai oleh penggiat muda seni persembahan.

Pementasan ini akan berlangsung pada 16 -19 Mei 2012 bermula 8.30 malam. Durasi pementasan sekitar 45 minit. Tiket dijual dengan harga RM30 bagi orang dewasan dan RM20 bagi pelajar, warga emas dan OKU.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad