Anuar Zain Tak Layan Radio Hampir Lima Tahun
“Saya sudah lama tidak mendengar radio kerana setiap kali saya cuba dengar saya disajikan dengan lagu-lagu yang sama. Tidak ada kepelbagaian. Mana lagu-lagu rock, jazz atau R&B? Sesekali kita perlukan lagu-lagu yang boleh memberi ketenangan atau melepaskan tekanan. Tapi, apa yang saya perasan, ada sesetengah stesen radio memainkan lagu yang sama berulang kali dalam masa yang singkat.
Tidak dinafikan saya agak kesal dengan situasi ini. Sepatutnya mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini harus memberi sokongan kepada artis-artis tempatan. Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah album, jadi tidak salah rasanya kalau tunjukkan sokongan dengan memainkan lagu-lagu mereka di radio,” luah Anuar Zain mengulas karenah birokrasi di sesetengah stesen radio ketika ini.

Dalam masa yang sama, Anuar juga menolak pendapat sesetengah pihak yang meletakkan kesalahan kepada peminat muzik tempatan.
“Jika sesebuah lagu itu tidak dimainkan di sesebuah stesen radio, mereka mengatakan lagu itu tidak mendapat permintaan peminat. Malah, ada juga yang mendakwa peminat muzik kita yang tidak matang kerana hanya mahukan satu genre muzik. Pada pendapat saya, peminat muzik kita bukan tidak matang, tetapi mereka tidak ada pilihan memandangkan pihak stesen radio hanya memainkan lagu-lagu yang mereka rasakan menjadi pilihan peminat.
Saya pun tidak faham dengan situasi ini. Ada lagu yang sangat bagus , tetapi langsung tidak dimainkan di mana-mana stesen radio. Pandangan saya ini mungkin menimbulkan rasa kurang senang kepada pihak terbabit, tetapi seseorang perlu menyuarakannya. Ini negara demokrasi, jadi tidak salah saya memberikan pendapat,” ulas Anuar lagi.
Bercerita tentang album terbarunya pula, Anuar memberitahu selepas dipasarkan pada September lalu, album itu sudah terjual sebanyak 11,000 keping.

“Sejak dipasarkan pada September tahun lalu, album ini sudah terjual 11,000 keping. Saya rasa jumlah itu agak memuaskan kerana bukan mudah untuk menjual sesebuah album sekarang ini. Kebanyakan pembelian dibuat oleh peminat yang mengikuti perkembangan karier saya selama ini. Diharapkan dengan pelancaran rasmi ini, penjualan album ini akan meningkat. InsyaAllah dengan hebahan pihak media, lebih ramai yang tahu tentang album ini,” ujar Anuar yang ditemui ketika majlis pelancaran album terbarunya di Bistro 42, Bangsar Village 2, pada Rabu.
Untuk makluman, album ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan kerana Anuar sangat berhati-hati dalam pemilihan lagu agar peminat mendapat yang terbaik.
“Saya memberikan sepenuh jiwa dan hati saya untuk menghasilkan album ini. Semua perkara saya fikirkan sendiri kerana mahukan yang terbaik. Saya mahu alunan muzik yang dicipta dapat dikongsi, disayangi dan dekat di hati peminat sebagaimana ia bermakna di hati saya. Selain itu, saya juga mengharapkan lagu-lagu dalam album ini dapat memberikan ketenangan kepada emosi pendengar,” ujar Anuar.
Selepas mempertaruhkan lagu ‘Ku Berjanji Karna Cinta’ dan ‘Cinta Harus Memiliki’, Anuar kini bersedia untuk mempromosikan single ketiganya ‘Ajari Aku’.


