Apek - Saya Masih Berkeluarga!
Walaupun sebelum ini pelawak terkenal, Saiful Apek pernah beberapa kali menafikan mengenai kisah penceraiannya, namun kontroversi tersebut masih tetap diperkatakan sehingga kini. Tidak mahu lagi isu ini berlanjutan, Apek yang ditemui ketika majlis tayangan media filem terbarunya, ‘Hantu Air’, tampil memberi kenyataan.
“Saya pelik kerana masih ada orang yang bertanya kepada saya bagaimana saya menjalani kehidupan sebagai bapa tunggal. Di sini saya ingin menegaskan, yang saya masih lagi belum solo. Saya masih berkeluarga dan punya dua anak lelaki serta isteri.
“Ini bukan pertama kali saya melalui kontroversi sebegini dan saya berharap isu ini tidak akan timbul lagi selepas ini,” ujar Apek yang kini hidup bahagia bersama keluarganya selepas didapati bebas dalam tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya, dua tahun lalu.
“Alhamdulillah, keputusan tersebut membuktikan saya tidak bersalah sekaligus menepis segala suara-suara sumbang terhadap saya sebelum ini. Ia juga membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada saya. Lebih membanggakan, keputusan itu juga turut bagi impak lebih kepada dua anak lelaki saya. Sepanjang kes ini dibicarakan, mereka melalui proses ini dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
“Mereka bawa nama saya dan saya tak tahu macam mana mereka menempuh perkara ini dengan pandangan orang sekeliling. Alhamdulillah, bila kes ini dah selesai, mereka yang paling gembira dan sudah tentu saya juga orang yang paling gembira apabila melihat perubahan mereka. Mereka kini nampak lebih yakin dalam menjalani kehidupan normal sebagai remaja.
“Bagi saya, apa yang berlaku ada hikmahnya. Dari situ, hubungan kami lebih akrab dan rapat malah kami kini sedang menyelami diri masing-masing kerana sebelum ini saya tidak banyak meluangkan masa bersama mereka. Tidak dinafikan, kes ini juga banyak mengubah diri dan perjalanan hidup saya,” ujar Apek mengakui menempuh pelbagai dugaan sepanjang disabitkan dalam kes tersebut.
“Saya tak nafikan ada juga pihak yang tak berani nak memberikan saya sebarang tawaran lakonan dan persembahan, namun saya tak kisah kerana anggap ini bukan rezeki saya. Bukan saja penerbit , malah ada juga kalangan artis yang buat-buat tak kenal saya. Saya tak kisah kerana sahabat-sahabat saya masih berada di belakang saya. Mereka menjadi nadi dan bagi semangat kepada saya.


