Aplikasi Tonton Di Platform Samsung SMART TV
Dengan kehadiran teknologi terkini, Samsung SMART TV telah mengubah cara untuk kita meningkatkan prestasi dalam menonton sambil berinteraksi dengan televisyen. Pelbagai ciri industri terkemuka dan unik telah ditawarkan, dan Samsung kini memperbesarkan rancangan untuk membawa pengguna SMART TV dalam pilihan mereka sendiri untuk menonton.
Samsung Malaysia Electronics dengan kerjasama Alt Media Sdn. Bhd. akan melancarkan serta membangunkan Aplikasi TV Tonton dan seterusnya digunakan untuk SMART TV yang bertujuan untuk mengembangkan pelbagai tawaran serta kandungan yang terdapat dalam Samsung SMART TV.
“Usahasama strategik bersama dengan Samsung ini dilihat bakal menawarkan koleksi kandungan tempatan serta antarabangsa yang lebih meluas kepada pelanggan, dengan majoritinya merupakan kandungan terbesar milik Media Prima. Pelanggan Samsung SMART TV boleh menjangkakan capaian langsung dan segera untuk kandungan popular serta terkini.
Selain itu, aplikasi inovatif ini turut memberi pilihan alternatif buat pengguna semasa Tonton untuk menikmati rancangan kegemaran mereka di platform selain komputer, tablet dan telefon pintar. Kami sentiasa meneroka peluang baru untuk memperbaiki pengalaman menonton dan kini, kami berbangga dapat memenuhi impian pengalaman menonton secara santai di ruang tamu melalui usahasama hebat bersama Samsung SMART TV,” ujar Lam Swee Kim, Pengurus Besar Kumpulan, Media Baru dan Pemasaran Bersepadu, Media Prima Berhad.
Dengan kerjasama ini, penonton Malaysia bakal menyaksikan pembangunan aplikasi “streaming” hiburan yang pertama seumpamanya di Malaysia melalui platform SMART TV. Pengguna bukan sahaja dapat menonton “catch-up” program televisyen kegemaran pada bila-bila masa yang disukai, malah dalam keadaan selesa di kediaman persendirian dengan Samsung SMART TV, dan juga bakal menyaksikan kualiti imej yang lebih jelas serta format berkualiti tinggi (HD).
Aplikasi TV Tonton yang bakal dinikmati oleh pengguna Samsung SMART TV mulai Disember 2012, akan membolehkan capaian meluas untuk kesemua kandungan filem dan program TV di Tonton.


