Artis K-pop, Adele Di Shout! Awards 2012?
Anugerah hiburan paling hip di Malaysia, Shout! Awards kini kembali setelah direhatkan pada tahun lalu. Kali ini, Shout! Awards mempertandingkan lima kategori utama dengan 18 kategori secara keseluruhan. 16 kategori pernah dipertandingkan sebelum ini, manakala dua lagi kategori adalah kategori baru iaitu Wired Celebrity Award dan Shout! Aloud Award.
Bercakap kepada pihak media, Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul memberitahu, Shout! Awards pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada medium online kerana menyedari kepentingan dan peranan medium ini kepada industri hiburan ketika ini.
“Seperti penganjuran terdahulu, kami sentiasa menjanjikan sesuatu yang terbaik. Tahun ini kami mahu memberi tumpuan kepada medium online kerana ia adalah gaya terkini yang menjadi ikutan ramai. Wired Celebrity Award dan Shout! Aloud Award diperkenalkan kerana ia seiring dengan perkembangan teknologi dan kepesatan medium online yang banyak membantu perkembangan industri hiburan tempatan.
"Wired Celebrity Award adalah untuk mengiktiraf selebriti yang sering menggunakan laman sosial seperti Twitter dan Facebook bagi berkongsi perkembangan karier mereka. Sementara Shout! Aloud Award akan mengiktiraf individu bukan selebriti yang turut menggunakan laman sosial untuk berkarya,” ujar Airin.
Menyentuh tentang konsep persembahan malam kemuncak pada 24 November hadapan, Airin menjelaskan buat masa ini pihaknya tidak dapat memberi penjelasan terperinci kerana perbincangan lanjut belum dijalankan. Malah, pihaknya juga tidak dapat mendedahkan nama artis antarabangsa yang akan membuat persembahan.
“Kami masih mencari artis yang sesuai. Selain menepati bajet produksi, kami juga akan mempertimbangkan permintaan peminat. Antara nama-nama yang dicadangkan kepada kami setakat ini ialah Adele, Coldplay, Taylor Swift dan juga beberapa artis K-pop. Kami akan buat pemilihan yang sepatutnya. Jadi, tunggu pengumumannya nanti,” ujar Airin lagi.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Shout! Awards, Jennifer Thompson memberitahu, setakat ini pihaknya telah menerima kira-kira 100 penyertaan daripada mereka yang berminat dan pihaknya percaya lebih banyak penyertaan akan menyusul selepas ini.
Mengulas tentang kategori yang dipertandingkan, Jennifer memberitahu pihak produksi sebenarnya mahu menambah lebih banyak kategori untuk dipertandingkan, namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana mereka tidak punya masa dan perlu mengikut bajet yang telah ditetapkan.
“Kalau boleh memang kami mahu tambah lebih banyak kategori. Tetapi masa tidak mencukupi. Selain itu, kami juga perlu memikirkan bajet yang ada. Apa yang pasti, tahun ini kami akan kurangkan masa untuk persembahan artis. Kami terpaksa buat begitu kerana kami tidak mahu 'over run' macam tahun sebelum ini,” ujar Jennifer.
Shout! Awards akan disiarkan secara langsung dari lokasi rasmi Surf Beach, Sunway Lagoon pada 24 November pada jam 8.30 malam. Kemeriahan dan keghairahan majlis akan dimulakan dengan ketibaan barisan selebriti popular untuk acara karpet merah.
Penyertaan Shout! Awards dibuka kepada semua stesen TV, syarikat rakaman, rangkaian radio, dan syarikat penerbitan / produksi drama dan filem. Semua penyertaan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dilantik daripada kalangan pakar, wakil industri penyiaran, muzik dan filem. Borang penyertaan boleh dihantar bermula sekarang sehingga 17 September 2012, jam 4 petang.
Berikut adalah kategori-kategori yang bakal dipertandingkan:
Ultimate Shout! Award
1) Music
Rockstar Award
Popstar Award
Power Vocal Award
Flava Award
Break Out Award (Best New Act)
Music Video Award
2) TV & Film
Best On-Screen Chemistry Award
Fresh TV Series Award
Breakthrough Local Feature Award
Favourite TV Program
Favourite TV Personality Award
3) Works
Hot Guy Award
Hot Chick Award
4) Radio
Coolest Radio Announcer Award
Favourite Radio Show
5) Social Media
Wired Celebrity Award
Shout! Aloud Award


