Artis Kontroversi Gamatkan Galaksi Raya

19 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan program hiburan hangat lagi sensasi, Galaksi yang bakal menghangatkan Hari Raya anda pada tahun ini. Menampilkan konsep yang cukup unik di mana pengacara dan tetamu jemputan tampil dengan karakter dimamah usia, Galaksi Raya 2012 bakal disiarkan pada Hari Raya pertama, jam 8.30 malam di TV9.

Selain pengacara Ikhwan dan Kiah Propa, kehadiran artis kontroversi, Azwan Ali, Ifa Raziah, Julfekar, Roslan Shah dan Ieda Moin juga bakal menggamatkan lagi program panas ini. Beraya di rumah Kiah Propa, kesemua mereka akan mengimbau dan menyingkap kembali saat-saat kontroversi yang pernah hangat melanda mereka satu ketika dahulu.

Elemen menarik yang cuba disuntik dalam program ini ternyata akan membuatkan penonton di rumah terhibur dengan gelagat spontan yang dipaparkan. Tidak cukup dengan itu, Galaksi Raya akan dihangatkan lagi dengan kehadiran Lan Pet Pet yang akan muncul menjadi Nas Ahmad versi tua. Lan Pet Pet ditugaskan untuk menerjah artis-artis bagi mendapatkan cerita-cerita sensasi.

“Bagi saya, Raya tidak semestinya dengan pakaian Raya di mana dalam program ini kami akan tampilkan konsep ‘Raya Gila’, iaitu satu suasana Raya yang lain dan unik. Galaksi Raya kali ini menyaksikan penampilan artis yang lantang bersuara di mana kita akan tuakan mereka dalam program ini. Kali ini saya serahkan kepada Kiah Propa untuk mengarah serta menerbitkan program ini kerana saya percaya dan yakin dia boleh buat sesuatu yang lain.

“Saya bagi cabaran untuk dia mengendalikan program Raya ini dan saya nampak potensi dia. Semua wajib menonton Galaksi Raya kerana ia merupakan satu program yang lain yang tidak pernah orang tengok sebelum ini. Penonton semua memang kena tengok sebab jika tidak, mereka akan terlepas dengan sesuatu yang menarik pada Hari Raya tahun ini,” ujar Nas Ahmad selaku penerbit Galaksi.

Selain itu, Galaksi Raya 2012 turut dipadatkan lagi dengan paparan berita-berita hangat dari artis popular. Menurut salah seorang tetamu jemputan, Azwan Ali, “Galaksi Raya menyaksikan satu konsep yang sangat berbeza. Tidak seperti program Raya yang biasa, idea sewel yang dicetuskan dalam program ini bagus untuk menampilkan sesuatu yang lain dan menarik.”

Jangan lepaskan peluang untuk menonton Galaksi Raya 2012 pada Hari Raya Pertama, jam 8.30 malam di TV9. Bagi yang terlepas, anda boleh menyaksikan siaran keduanya pada hari Jumaat, 24 Ogos 2012, jam 8.30 malam, di TV9.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad