BRTM 2012 - Siapa Juara Pilihan Peserta Tersingkir?
Peringkat separuh akhir Bintang RTM 2012 (BRTM 2012) menjadi saksi tamatnya perjuangan 6 peserta yang cukup berbakat. Diandra, Firdaus, Farhan, Shalina, Charles dan Darren terpaksa berputih mata dek peluang mereka yang terhenti setakat di situ sahaja. GUA mendapatkan komen dari mereka dan juga siapa agaknya pilihan mereka untuk bergelar Juara BRTM 2012?
Firdaus, 22, Kedah
“ Alhamdulillah. Saya lega kerana berjaya mengharungi segala cabaran yang diberikan dan dapat belajar sedikit sebanyak selok-belok ilmu berkaitan seni persembahan dan nyanyian dari tenaga pengajar terutamanya Ibu Fauziah Nawi. Saya pilih Fitri untuk bergelar Juara BRTM 2012. “
Charles, 22, Sabah
“ Saya akan kembali menyambung pengajian dalam bidang muzik di Sabah. Saya bercadang untuk menghasilkan lagu sendiri dan kembangkan lagi bakat seni yang saya ada. Saya pilih Arie untuk mengungguli pertandingan kali ini. “
Farhan, 16, Pahang
“ Saya puas hati sebab saya dapat buat persembahan yang baik malam ini. Paling penting, pengalaman yang saya dapat sepanjang pertandingan ini sangat berharga. Saya pilih Hafsham untuk jadi juara BRTM 2012 “
Diandra, 20, Sabah
“ Saya gembira dan bangga dengan rakan-rakan yang berjaya ke peringkat akhir. Pada saya, rezeki masing-masing dan kali ini bukan rezeki saya. Saya akan kembali fokus pada pelajaran saya di kolej dan dalam masa yang sama perbaiki segala kelemahan saya dalam bidang seni. Saya pilih Shazia untuk jadi Juara BRTM 2012. “
Shalina, 16, Kedah
“ Saya akan lebih usaha untuk tingkatkan segala kelemahan saya. Saya gembira orang dah mula nampak kemampuan saya. Saya tak akan putus asa untuk terus menyanyi dan saya harap satu hari nanti, saya akan dikenali dengan bakat saya. Saya pilih Arie untuk jadi juara tahun ini. “
Darren, 20, Pulau Pinang
“ Saya bangga dengan diri saya sebab berjaya pergi sejauh ini. Saya akan teruskan penglibatan saya dalam bidang nyanyian. Untuk juara tahun ini, susah saya nak cakap siapa yang akan menang sebab semuanya berbakat. Jika diberi satu nama, saya akan pilih Hafsham. “
GUA ucapkan selamat maju jaya dan semoga kerjaya seni keenam-enam anak muda ini terus bersinar!


