Beraya Sederhana Pilihan Bunkface
Apabila umat Islam seluruh Malaysia teruja dengan ketibaan Syawal, kumpulan Bunkface pula memilih untuk menyambut lebaran secara sederhana.
Menurut Youk, pemain bass Bunkface, Aidilfitri disambut untuk meraikan Syawal. Namun mereka juga turut bersedih kerana berakhirnya Ramadan.
“Lebih baik sekiranya kita menyambut Syawal secara sederhana kerana yang lebih penting berakhirnya Ramadan,” katanya.
Tambah Youk, mereka tidak begitu teruja untuk membeli baju baru dan sebagainya kerana ingin mengelakkan pembaziran.
“Satu baju mencukupi untuk dipakai di pagi raya,” katanya.
Menurut Sam pula, perkara yang lebih menggembirakan mengenai Aidilfitri apabila mereka dapat berkumpul sesama sanak saudara dan keluarga yang sudah lama tidak bersua.
“Tak selalu dapat berkumpul sesama sanak saudara. Ada saudara yang kali terakhir jumpa masih kecil, kini sudah dewasa. Itu perkara yang menyeronokkan mengenai Aidilfitri,” kata Sam.
Bagi Paan, walaupun Aidilfitri disambut dengan sederhana, namun ia masih bermakna.
“Raya tetap raya tapi biar berpada-pada,” katanya.


