Bunkface Ingin Kembalikan Zaman Kegemilangan Gig
Kecewa dengan lambakan artis luar negara, Bunkface menyatakan mereka ingin mengembalikan zaman kegemilangan gig dimana hanya band tempatan sahaja yang terlibat.
“Masyarakat sekarang telah dimanjakan dengan kemasukan artis luar negara hingga sanggup berbelanja lebih untuk menonton artis pujaan mereka. Tapi persembahan artis tempatan hanya mendapat sambutan apabila konsert tersebut adalah konsert percuma,” kata Sam, vokalis Bunkface.
Menurut mereka, dengan kemasukan artis luar, peluang untuk artis tempatan mengembangkan bakat mereka semakin terhad.
“Saya bukan ingin memuji masyarakat Indonesia, tapi mereka begitu sayangkan muzik yang dihasilkan oleh rakyat mereka,” kata pemain gitar, Paan.
Tambah mereka, gig tersebut akan diadakan selepas album terbaru mereka Bunk Not Dead berada di pasaran.
“Tidak akan ada band luar negara yang terlibat dengan gig ini. Kami ingin lakukan apa yang Hujan dan band-band sebelum ini pernah lakukan untuk industri muzik tanah air,” kata Sam.
Gig tersebut akan dimulakan di lokasi majlis pelancaran album mereka di satu lorong sekitar SS15, Subang Jaya.


