Dato’ Siti Nurhaliza Pamer Magis di DFP

10 Jul 2013, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Penyanyi tersohor Negara, Dato’ Siti Nurhaliza melakar magis indah dalam persembahannya selama tiga hari dalam ‘Siti Nurhaliza in Symphony’ di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5, 6 dan 7 Julai lalu. Kolaborasi dinamik antara Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) dan penyanyi legenda Siti Nurhaliza, menjadi penutup tirai kalendar musim konsert DFP/MPO untuk musim 2012/2013.

GUA berkesempatan menonton sendiri persembahan penuh magis ini. Sebanyak 21 lagu dipersembahkan oleh Siti yang  diiringi oleh 80 pemuzik dari MPO. Siti membuktikan dia adalah penyanyi terbaik yang pernah ada di Malaysia.

Dimulakan dengan lagu ‘Kau Kekasihku’ yang dipetik dari album kelima Siti, ‘Pancawarna’, penonton mula dipukau dengan kelunakan suara Siti yang diiringi oleh paduan muzik hebat MPO yang dipimpin oleh konduktor Kevin Field. Siti membawa penonton dalam DFP menyelusuri perjalanan dan liku-liku hidupnya sebagai salah seorang anak seni semenjak di awal penglibatannya dalam industri muzik sehingga kini.

Persembahan diteruskan dengan alunan lagu ‘Badarsila’, lagu berentak irama tradisional yang dipetik dari album studio ke lapan Siti, ‘Sanggar Mustika’. Lunak dan lenggok suara Siti dalam mengalunkan melodi dan irama tradisional ini tidak dapat dinafikan lagi kehebatannya.

Selain seleksi lagu-lagu popular miliknya, Siti juga mempersembahkan medley lagu Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, ‘Malam Bulan Di Pagar Bintang’ dan ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’. Siti menyampaikan apresiasinya untuk Seniman Agung ini melalui dendangannya terhadap dua lagu ini. Selain itu, Siti juga menyampaikan lagu ‘Terasing’, nyanyian asal Datuk Sudirman Haji Arshad dalam mengenang Sudirman sebagai salah seorang penghibur tersohor di Malaysia.

Siti juga membawakan lagu-lagu yang mengimbau penonton semenjak di awal pembabitannya di dalam industri hiburan sehingga kini seperti lagu ‘Jerat Percintaan’, ‘Diari Hatimu’, ‘Bukan Cinta Biasa’, ‘Percayalah’ dan ‘Purnama Merindu’. Tidak ketinggalan, lagu terbaru ‘Lebih Indah’ ciptaan Aubrey Suwito.

Siti mengakhiri persembahan hebatnya dengan mengalunkan lagu ‘Muara Hati’ secara ‘encore’. Penonton yang hadir di MPO memberikan ‘standing ovation’ kepada Siti sejurus selepas dia melakukan persembahan terakhir. Ini bukti penonton begitu berpuas hati dengan apa yang telah dipersembahkan oleh Siti pada malam indah tersebut.

Sesungguhnya, persembahan Siti dalam ‘Siti Nurhaliza in Symphony’ selama tiga malam di DFP diiringi oleh MPO nyata memberikan kenangan yang cukup manis dan eksklusif bagi para penonton yang hadir dan kepada penggemar Siti Nurhaliza. Persembahan Siti nyata tidak mengecewakan kerana alunan vokalnya yang begitu mantap diiringi oleh MPO yang amat berprestij nyata memukau penonton dan membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk.

Kredit foto : Dewan Filharmonik Petronas

Google Ads


Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)