Debaran Lebaran Schawal
Sambutan Aidilfitri kali ini menjadi satu momen yang cukup indah bagi pasangan pelakon serta pengacara, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya apabila menyambut lebaran buat pertama kalinya sebagai pasangan suami isteri. Dalam keterujaan menyambut bulan Syawal, tidak dinafikan wujud debaran di hati pasangan ini dalam meraikan lebaran kali ini memandangkan ini merupakan kali pertama mereka menyambutnya bersama.
“Kami berasa teruja meraikan lebaran kali ini namun pada masa yang sama agak gementar untuk bertemu dengan famili yang tak pernah jumpa. Alhamdulillah, kami sudah buat persediaan dari segi mental dan fizikal dan harap semuanya berjalan dengan lancar,” ujar Awal sambil dipersetujui isterinya.
“Scha antara orang yang paling berdebar sebab ahli keluarga dan sanak saudara Awal ramai. Bila dah bersuami ini, sudah tentulah isteri kena ikut suami. Scha berdebar untuk berjumpa dengan sanak saudara Awal yang Scha tak pernah jumpa lagi. Scha juga tidak tahu adab dan cara mereka macam mana namun Scha harap semuanya akan okay.”
Bagi setiap pasangan yang baru mendirikan rumahtangga, perkara yang dirisaukan ketika Aidilfitri mestilah apabila perlu memilih giliran untuk beraya di rumah siapa terlebih dahulu. Ditanya kepada pasangan ini bagaimana sistem giliran mereka ditentukan, Awal memberitahu, “Alhamdulillah, kami tidak bergaduh seperti orang lain kerana saya tidak ada kampung.

“Jadi, pada tahun ini, kami akan beraya di rumah keluarga Scha dulu dan kemudian pergi ke rumah saya. Hari raya ketiga pula baru kami akan pulang ke kampung Scha di Sungai Petani, Kedah,” ujar Awal yang bersyukur kerana kini mempunyai isteri untuk menguruskan persiapan rayanya.
“Agak janggal juga Aidilfitri tahun ini kerana kali ini kami berdua. Sebelum ini fikir tentang diri sendiri saja namun kali ini persiapan raya berganda. Tidak susah untuk adaptasi perkara ini sebab citarasa kami sama namun kami akan berbincang bersama terlebih dahulu tentang apa saja perkara,”ujar Scha yang turut berkongsi pengalamannya memasang langsir di rumah Awal.
Menyentuh mengenai kemeriahan sambutan Syawal tahun ini, Awal memberitahu, “Tahun ini kami tempah tiga pasang baju warna sedondon iaitu maroon, dusty pink dan olive green. Semuanya Scha yang sediakan dan saya tak ada masalah kerana citarasa kami berdua sama. Kuih pula semuanya kuih tunjuk tapi kami ada juga cuba untuk buat kek Victoria dari resepi ibu saya.”
Mengenai juadah raya kegemaran mereka pula, Scha dan Awal memberitahu, “Awal suka makan ketupat palas yang ada jagung dan kacang. Tahun ini juga Awal dapat menikmati juadah raya warisan keluarga Scha iaitu Roti Kerca, iaitu tepung yang dimasak dan digulung serta dipotong sebelum dimakan bersama kuah daging yang hancur.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Scha dan Awal sempat mengucapkan, “Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua peminat kami. Terus-terang kami ingin memohon maaf kepada semua yang kami pernah buat silap sebelum ini, harap semua boleh maafkan kami. Teruskan menyokong kami dan berhati-hatilah di jalan raya ketika dalam perjalanan pulang beraya ke kampung. Jangan bermain mercun dan bersederhanalah ketika menyambut raya.”


