Definisi Cinta Jason Mraz

5 Jun 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Terbaru daripada penyanyi yang berasal dari Mechanicsville, Virginia ini jelas memonjolkan kreativiti serta luahan pandangan atau erti cinta dari sudut minda Jason Mraz. Penyanyi serta pencipta lagu yang kreatif ini sudah cukup dikenali di Malaysia. Beliau cukup dikenali dengan karya-karyanya seperti “You And I Both”, “The Remedy”, “I’m Yours” dan duet romantik beliau bersama penyanyi Colbie Caillat menerusi “Lucky”.

Kelahiran album terbaru yang bertajuk Love Is A Four Letter Word ini sebenarnya telah dirangka sejak dari tahun 2009 lagi, dimana Jason telah mengumumkan melalui laman MySpace beliau bahawa proses rakaman album akan bermula pada Disember 2009. Proses pembikinan album ini mengambil masa selama 2 tahun sebelum dilancarkan secara global pada April 2012. Seperti ada sesuatu yang istimewa dengan album ini sehingga proses penghasilannya sahaja mengambil masa sehingga 2 tahun sebelum dilancarkan.

Sebenarnya album ini sudah siap dirakamkan sepenuhnya pada Disember 2011. Namun disebabkan sikap Jason sendiri yang begitu teliti dalam penghasilan album terbaru ini, Jason berhasrat untuk merakam semula salah sebuah lagu yang dimuatkan kepada versi akustik.

Jason menganggap album ini agak berlainan genre daripada hasil karyanya yang sebelum ini, di mana ton serta tekstur yang disuntik untuk album ini sedikit berbeza. Dari segi muzikalnya pula, Jason yakin bahawa pendengar atau peminat akan menyukainya. Album ini lebih bersifat personal, lebih bermelodi dan mellow. Singel pertama yang dilancarkan untuk album terbaru ini bertajuk “I Won’t Give Up”.  Sebuah lagu yang memiliki unsur-unsur ‘country’ pada melodinya serta lirik yang cukup puitis ini mempunyai mood yang relaks dan berkisarkan tentang penulis yang tidak akan berputus asa dengan nilai persahabatan.

Antara lagu-lagu lain yang perlu diberi perhatian adalah seperti ‘Be Honest’, ‘The Women I Love’, ‘5/6’, ‘Everything Is Sound’ dan ‘Frank D. Fixer’. Secara kesuluruhannya terdapat 12 buah lagu yang dimuatkan ke dalam album ini. Untuk lebih menghayati album ini, anda dicadangkan untuk berada dalam keadaan santai dan rileks, agar anda terasa berbaloi dengan apa yang anda bayar. Selain dari itu, album ini didatangkan dengan dua keping CD iaitu dalam versi rakaman studio dan juga rakaman secara live. CD 1 yang turut berkonsepkan interaktif juga akan membawa anda terus kepada pautan interviu, disebalik tabir pembikinan video I Won’t Give Up dan video klip rasminya.

Sudah masanya untuk rileks, dan bersantai dengan lagu-lagu dari album Love Is A Four Letter Word. Selami interpretasi Jason Mraz tentang cinta, mungkin anda akan lebih menghargai cinta selepas itu.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad