Demi Agama, Nuremy Rela Tinggalkan Lakonan
Nuremy Ramli, empunya nama ini mungkin tidak begitu dikenali oleh penggemar filem Melayu. Tetapi jika anda mengikuti filem-filem atau drama terbitan MIG, pasti kelibat gadis berusia 26 tahun ini pernah dilihat. Terbaru, Nuremy akan muncul dengan filem terbaru berjudul ‘Hanya Aku Cinta Kau Seorang’ (HACKS). Kali ini Nuremy diberi kepercayaan menjadi heroin untuk filem arahan Ahmad Rusli Khadri atau Ollynn ini.
Jangan terkejut melihat penampilan Nuremy dalam filem ini nanti. Dia tampil seksi dan kelihatan tergedik-gedik di samping hero, Aeril Zafrel. Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana perasaan Nuremy setelah menyaksikan lakonannya bukan? Maklumlah, Nuremy kini bukan lagi Nuremy yang dulu. Sebaliknya sudah berhijab dan berpakaian menutup aurat.
Ketika ditemui di majlis pratonton HACKS di TGV, Sunway Pryamid semalam, Nuremy mengakui dia sebenarnya berasa agak malu dengan penampilannya itu. Bagaimanapun, dia mahu peminat faham bahawa penggambaran filem itu dilakukan sebelum dia mengambil keputusan untuk bertudung.
“Ketika menonton filem itu tadi (Isnin), memanglah saya berasa agak malu kerana penampilan saya sekarang ini tidak sama seperti dahulu. Terus-terang saya katakan, saya sebenarnya kurang selesa dengan pakaian yang disediakan oleh pihak produksi ketika itu. Ini kerana ketika penggambaran HACKS bermula, saya sudah memasang niat untuk memakai tudung.
Bagaimanapun, ketidakselesaan itu tidak diluahkan kerana saya tidak mahu menyusahkan pihak lain. Sebaliknya, saya akur dengan kehendak pengarah dan cuba lakukan yang terbaik. Sebagai pelakon, saya tidak mahu mengecewakan pengarah dan penerbit yang percaya dengan kemampuan lakonan saya,” ujar Nuremy berterus-terang.
Dalam masa yang sama, pelakon ini mengumumkan bahawa dia kini sudah bersedia untuk mengundurkan diri dari dunia lakonan. Jelas Nuremy, sepanjang tiga bulan dia bertudung, dia langsung tidak menerima sebarang tawaran berlakon daripada mana-mana produksi.
“Selepas bertudung, saya memang tidak menerima sebarang tawaran berlakon. Andai kata peluang saya dalam bidang ini sudah tertutup, saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya sanggup tinggalkan dunia lakonan, demi agama dan kebaikan diri sendiri. Paling penting, perubahan ini memberikan ketenangan jiwa dan minda kepada saya. Ia sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kalau tidak berlakon lagi nanti, mungkin saya akan bantu uruskan perniagaan keluarga. Doakan yang terbaik,” ujar Nuremy lagi.
Mengimbas permulaan langkahnya untuk menutup aurat, Nuremy memberitahu semuanya bermula apabila dia sering termimpikan arwah ayahnya.
“Dalam mimpi-mimpu itu, arwah ayah hanya memandang kepada saya tanpa melemparkan senyuman. Sedangkan hubungan kami sangat rapat. Ini membuatkan saya tertanya-tanya apa maksud mimpi tersebut. Akhirnya saya buat kesimpulan bahawa ayah mahu saya lakukan sesuatu. Setelah beberapa lama berasa tidak sedap hati dan berkira-kira hendak menutup aurat, saya akhirkan nekad untuk berubah. Syukur keputusan ini membuatkan saya berasa lebih tenang dan selesa,” ujar Nuremy mengakhiri perbualan.
Selepas HACKS, Nuremy mempunyai dua buah filem lagi yang belum ditayangkan iaitu ‘Ajiboy’ dan ‘Halim Munan’.


