Dia Putarbelit Fakta - Hazrey
Blogger tempatan yang dikenali sebagai Hazrey yang kini hangat di tengah episod antara dirinya dan pelawak Mamat Sepah menganggap kenyataan pelawak itu sebagai kurang matang dan tiada asas.
Hazrey ketika dihubungi berkata sikap defensif pelawak itu tanpa sebarang justifikasi termasuk 'screen grab' apa yang didakwanya sudah cukup menceritakan hakikat sebenar yang berlaku di laman sosial twitter.
"Saya sebenarnya tergelak apabila membaca pelbagai kenyataannya yang sangat defensif dan berterusan mendakwa saya terlebih dahulu menghentam dan memaki lelaki itu. Adakah perkataan anda perlu lebih bertanggungjawab terhadap apa yang ditwit selepas dia menghentam seorang pengguna twitter lain bernama Izham Ismail, itu dianggap maki dan menghentam?
"Apabila dia mula bertindak agresif terhadap beberapa pengguna lain termasuk ingin mencederakan pengguna itu, saya anggap itu sangat keterlaluan, maka saya ada nasihatkan jangan bersikap samseng sebaliknya meminta maaf bagi meredakan keadaan," katanya.
Sebaliknya, menurut Hazrey, sebaik memberi nasihat itu, satu twit dihantar padanya oleh pelawak itu 'K###k la ko ni' dan itu, kata Hazrey menunjukkan tahap kematangan pelawak itu mengawal perasaan.
Katanya, beberapa pengguna twitter lain turut tersinggung dengan cara layanan pelawak itu yang tidak boleh menerima teguran tanpa provokasi.
"Mana ada provokasi. Contoh satu twit dari seorang pengguna wanita bernama @Iqhamono pada petang itu, pelawak itu sudah mengancam untuk mencederakan wanita itu! Kita boleh lihat siapakah yang melenting? Ini bukan soal provokasi tetapi seharusnya kita lihat siapa yang melenting tak tentu pasal ni?," katanya.
Hazrey berkata Mamat Sepah jelas tidak memahami konsep blog di mana apa yang ditulisnya tidak mewakili mana-mana syarikat mahupun agensi.
"Saya tak perlu publisiti pun seperti dia yang mendambakan publisiti malah di blog saya pun tiada foto saya. Saya nak publisiti buat apa? Dia perlu faham, konsep 'one man's word against the world'.
"Cuba kita perhatikan, kenapa perlu saya bergaduh dengan dia? Dia siapa? Saya pun pertama kali dengar nama dia. Apa hasilnya saya bergaduh dengan dia? Apa keuntungan saya bergaduh dengan dia? Tiada," katanya tegas.
Hazrey turut mengungkap pepatah 'kalau tiada angin takkan pokok bergoyang' merujuk kepada hentaman pelbagai pihak terhadap pelawak itu yang menggunakan perkataan keterlaluan terhadap pengguna sebelum dia bertindak menamatkan akaun twitternya itu.
"Kalau dia benar-benar tak bersalah, kenapa cepat cepat tamatkan akaun twitter walhal dia tahu dia boleh berkomunikasi dengan saya melalui laman sosial itu dan paling penting, dia boleh tampilkan kepada dunia segala dakwaan dia.
"Itu yang membuatkan saya bertambah sangsi motif dia yang saya kira jelas cuba menegakkan benang yang basah," katanya.
Mengulas kenyataan Mamat Sepah yang mahukan Hazrey berjumpa dengannya untuk memohon maaf, “Tak timbul soal saya perlu meminta maaf pada dia kerana ramai yang tahu apa yang berlaku pada malam itu.”
“Tapi baguslah dia mengambil nasihat saya memohon maaf pada semua tetapi biarlah ia dibuat secara ikhlas dan total supaya orang tahu kita matang dan bijak menangani sesuatu isu.” katanya.
Mengakhiri perbualan itu, Hazrey menasihatkan pelawak itu untuk berhenti berbohong pada diri sendiri kerana ia satu perbuatan memalukan.


