Fadzil Zahari Tidak Mahu Dibayangi Farid Kamil

31 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah jejaka kacak ini. Sekali pandang wajahnya tak tumpah seperti wajah pelakon popular, Farid Kamil. Ya, inilah dia Fadzil Bahri Zahari, adik kepada Farid Kamil yang juga merupakan pendatang baru dalam bidang lakonan.

Jejaka berusia 29 tahun ini memulakan kerjayanya dalam bidang seni tanah air apabila mula bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada abangnya pada 2007. Dari situ, Fadzil mula berjinak-jinak  untuk menulis skrip bagi filem ‘Kongsi’ dan juga ‘Bini-Biniku Gangster’.

Dari penulis skrip, jejaka jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya ini mula berkecimpung dalam bidang lakonan apabila berlakon dalam telefilem pertamanya, ‘Takde Lembu, Takde Raya’ untuk tayangan Aidilfitri baru-baru ini. Terbaru, beliau ditawarkan berlakon dalam drama bersiri, ‘Bini-Bini Perkasa’ yang bakal ditayangkan di Slot Aksi TV3 bermula 3 September ini.

“Kalau dalam filem ‘Bini-Biniku Gangster’ saya bertindak sebagai penulis skrip, tapi dalam drama yang diadaptasi daripada filem tersebut, saya menjadi salah seorang daripada pelakonnya. Saya memegang watak sebagai Din Unta, seorang gangster yang cuba mengkucar-kacirkan kumpulan kongsi gelap yang lain.

“Ini kali pertama saya memegang watak jahat dan tidak dinafikan pengalaman berlakon pada awalnya memang agak kaku. Namun, pengarah dan pelakon yang lain banyak membantu dan sedikit sebanyak rasa gugup itu dapat hilang,” ujar Fadzil ketika ditemui pada Majlis Sesi Ramah Mesra bersama pelakon ‘Bini-Bini Perkasa’, baru-baru ini.

Ditanya adakah beliau tidak takut andai kehadirannya dalam industri seni ini akan dibayangi oleh populariti abangnya sendiri, Fadzil memberitahu, “Memang ada orang cakap macam itu, tapi saya tak ada masalah mengenai perkara tersebut. Saya akan menjadikan abang sebagai ikon saya dan kami akan bersaing dari segi kerjaya. Abang banyak bagi nasihat kepada saya selain memberi pandangan untuk saya perbaiki lagi lakonan saya.”

Berkongsi lebih lanjut mengenai projek beliau akan datang, jejaka yang bernaung di bawah MIG ini memberitahu, “Saya akan muncul dalam filem ‘Bro, Nampak Motor Gua’ pada tahun depan. Selain itu, saya juga menjadi penulis skrip untuk filem ‘Taikun’ dan ‘Pe3’ yang bakal ditayangkan pada 4 dan 18 Oktober depan.

“Saya memang minat sangat dalam kedua-dua bidang ini dan saya harap saya akan menjadi penulis skrip dan pelakon terbaik kelak. Jika diberi peluang, saya juga akan mula berjinak dalam bidang pengarahan. Selain itu, saya juga memberi ceramah kepada penuntut-penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah mengenai penulisan skrip. Ia adalah satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.”

Google Ads


Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)