Fattah Amin Hero Memberku Hawa

30 May 2013, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Hero Remaja 2012, Fattah Amin tidaklah sepopular Hero-hero Remaja lain seperti Zed Zaidi dan Kamal Adli, namun jejaka ini sedang mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan. Menemui jejaka kacak ini di majlis pelancaran drama bersiri 'Memberku Hawa' musim kedua, Fattah menjelaskan dia baru sahaja serius dalam industri hiburan bermula dari awal tahun ini.

"Selepas pencarian Hero Remaja tamat pada September tahun lalu, saya ada menerima tawaran berlakon, tapi saya tidak memenuhinya kerana bagi saya minat saya lebih kepada 'modeling'. Namun begitu setelah didorong oleh teman-teman, bermula dari awal tahun ini, saya telah mula berjinak-jinak dan mencuba nasib dalam bidang lakonan menerusi drama 'Kerana Sarah' dalam slot Azalea di TV3," jelas Fattah yang merupakan mahasiswa dalam bidang pengurusan seni di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Statusnya sebagai seorang pelajar di institusi pengajian tinggi sedikit sebanyak turut membataskannya untuk mengambil banyak tawaran berlakon.

"Saya masih lagi merupakan seorang pelajar sepenuh masa. Jadi, atas sebab itu saya ambil tawaran satu demi satu kerana saya takut pelajaran terjejas. Mungkin selepas habis belajar pada hujung tahun nanti saya akan fokus untuk membina nama dalam industri seni," ujar Fattah lagi.

Walaupun Fattah merupakan pemenang bagi Hero Remaja 2012, finalis-finalis yang lain seperti Syafiq Kyle dan Syarul Ridzwan telah terlebih dahulu meniti populariti menerusi drama bersiri 'Tanah Kubur' dan 'Maskara'.

"Bagi saya, rezeki masing-masing berbeza. Syafiq Kyle dan lain-lain memang lebih dulu menempa nama dalam industri lakonan berbanding saya. Tapi setakat ini Alhamdulillah, saya akan membahagikan masa untuk berlakon dan belajar," jelas Fattah.

"Drama bersiri 'Memberku Hawa' musim kedua merupakan penglibatan kedua saya dalam drama. Saya memegang watak sebagai Falliq, teman lelaki kepada Nur Hawa lakonan Siti Saleha. Selepas ini juga saya bakal tampil dalam drama bersiri berjudul 'Syurga Tanpa Bidadari' untuk slot Akasia di TV3," ulas Fattah mengenai perkembangan terbarunya.

Jangan lupa untuk menyaksikan lakonan Fattah disamping Siti Saleha dan Nad Zainal dalam 'Memberku Hawa' mulai 5 Jun 2013 pukul 10 malam di Astro Ria Saluran 104.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)