Fizo Omar Bertunang 9 November, Nikah 10 November

28 Oct 2013, 04:24pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas enam bulan menyulam cinta, pelakon serta pengacara, Fizo Omar bakal mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Mawar Abdul Karim pada 9 November hadapan.

Fizo ketika ditemui turut mengesahkan akan melangsungkan majlis pernikahan dengan anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda itu sehari selepas majlis pertunangannya iaitu pada 10 November 2013.

“InsyaAllah, jika semua berjalan dengan lancar, kami akan bertunang pada 9 November depan pada jam 9.00 pagi, manakala keesokan harinya, kami akan melangsungkan majlis pernikahan. Kedua-dua majlis ini akan diadakan di rumah pihak perempuan di Country Heights, Kajang dan akan bersiaran secara langsung dalam program Nasi Lemak Kopi O di TV9,” ujar Fizo ketika ditemui sebentar tadi.

Pada majlis pengumuman tarikh pertunangan dan perkahwinannya, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar turut membuat kejutan kepada Mawar apabila melamar wanita berusia 24 tahun itu di dalam panggung wayang Cathay Cineplex, e@Curve, Mutiara Damansara kira-kira jam 1.30 petang tadi.

 

“Pada mulanya saya beritahu Mawar yang saya ada mesyuarat hari ini dan apabila sampai sini, saya pura-pura cakap mesyuarat dibatalkan. Kemudian saya ajak dia tengok wayang dan terus melamar dia. Tidak dinafikan saya agak berdebar dan risau jika rancangan ini tidak jadi, namun saya lega semuanya berjalan seperti yang dirancang dan rasa terharu sangat dengan kehadiran semua,” ulas Fizo.

Momen bersejarah yang turut disaksikan oleh ahli keluarga, rakan-rakan serta pihak media ini menyaksikan penayangan klip video berdurasi 3 minit 20 saat yang menunjukkan perjalanan Fizo sebelum melamar Mawar sebagai isterinya. Klip video tersebut bersambung apabila Fizo muncul dengan membawa jambangan bunga serta cincin lalu melamar kekasihnya itu.

“Video ini mengisahkan tentang perjalanan saya serta Mawar dan kenapa saya memilih panggung wayang adalah kerana saya seorang anak seni dan di sini tempat saya bekerja. Idea untuk menghasilkan video ini tercetus daripada saya sendiri. Kami menjalani penggambaran tiga hari lepas dan video ini diarah oleh saya sendiri,” cerita Fizo lagi.

Menurut Fizo lagi, peminatnya juga boleh menonton video tersebut di laman www.youtube.com/paranormaltalents bermula esok. Detik bersejarah tersebut menyaksikan Mawar tergamam serta terkelu lidah apabila Fizo melamarnya. Mawar ketika ditemui sejurus selesai majlis mengakui rasa terkejut dan tidak sangka duta Line dan Drive itu akan melamarnya di situ.

“Ia di luar jangkaan saya dan saya agak terkejut apabila dilamar. Pada mulanya saya rasa tak logik apabila tiba-tiba mesyuarat dibatalkan dan bila tengok video yang dipaparkan saya dah mula rasa pelik. Saya berdebar kerana ini kali pertama saya dilamar,” ujar anak sulung kelahiran Permatang Pauh, Pulau Pinang ini.

Sebelum majlis pertunangan berlangsung, pihak keluarga perempuan akan mengadakan majlis khatam Al-Quran manakala pada sebelah malamnya pula akan berlangsung malam pesta berinai.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad