Fizz Fairuz Nafi Berbohong Soal Meminang

24 May 2012, 05:06pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Sebelum ini pelakon Fizz Fairuz pernah mengeluarkan kenyataan ingin meminang pasangannya, pelakon Almy Nadia selepas ibunya pulang dari mengerjakan umrah. Namun, kenyataannya itu seolah-olah memakan diri apabila Almy tampil membuat kenyataan di sebuah akhbar kononnya kenyataan Fizz itu sebagai satu gurauan memandangkan hubungan mereka kini sudah di ambang perpisahan.

Baru-baru ini, dalam satu laman portal, Fizz dikatakan telah mengambil pendekatan dengan meletakkan telefon apabila diminta untuk mengulas mengenai perkara tersebut. Namun, pelakon Nur Kasih ini tidak dapat mengelak dan lari dari wartawan apabila beliau diserbu pihak media apabila hadir ke majlis 20 Selebriti Meraikan Hari Ibu anjuran Rafflesia dan Lords Tailor, di Hotel The Royal, malam Rabu.

Apabila diajukan mengenai apakah status sebenar hubungan cintanya dengan Almy sekarang, memandangkan kedua-duanya memberi kenyataan yang bercanggah, Fizz menjawab, “Sebenarnya memang tak ada apa-apa masalah, kami masih baik. Baru saja Selasa lalu kami main badminton bersama-sama. Demi Allah, memang tak ada apa-apa masalah,” ujar Fizz bersungguh-sungguh menjelaskan perkara tersebut.

Ditanya adakah dia tahu punca Almy memberikan kenyataan sedemikian, Fizz memberitahu, “Saya tak tahu dia melatah ke, melenting ke atau terlepas cakap. Tapi apapun, saya tak salahkan dia. Saya ada juga bertanyakan kepada dia mengapa keluar kenyataan sebegitu namun dia hanya mendiamkan diri. Mungkin dia buat kenyataan sebegitu sebab mak dia marah agaknya kerana saya mungkin tidak mengikut adat dan terus mengeluar kenyataan tersebut tanpa memberitahu mereka terlebih dulu.”

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Almy yang memintanya agar berhenti berbohong mengenai status perhubungan mereka, Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 2011 ini memberitahu, “Suruh saya berhenti berbohong? Agaknya itu sebab saya pernah cakap dengan dia yang saya nak belikan kereta untuk dia, tapi saya tak beli lagi kot? Itu sebab dia tak ada lesen lagi,” jelas Fizz seperti tidak serius sehingga para media memandang antara satu sama lain mendengar jawapannya itu.

Pada majlis tersebut, Fizz dilihat seperti seolah-olah gelisah dan berdolak-dalik dalam memberikan kenyataan apabila diasak oleh pihak media mengenai isu tersebut. Malah, ketika wartawan cuba menemubual ibunya, Norhaizan Jantan bagi mendapatkan kesahihan isu tersebut, Fizz meminta ibunya supaya tidak memberikan apa-apa kenyataan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Fizz turut ditebak dengan soalan adakah dia akan meneruskan hasratnya meminang Almy dan dia menjawab, “Saya tak mahu cakap dan berjanji apa-apa sebab saya seorang yang tak boleh berjanji. Ibu saya akan berangkat ke Tanah Suci 1 Jun ini, jadi saya minta dia doakan yang terbaik. Kita tunggu sajalah nanti, kalau ada, ada lah.”

Google Ads





Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad