Gig Triple Play Satukan Tiga Band Malaysia & Indonesia
Berbeza negara, namun tiga kumpulan terkenal di negara masing-masing telah memberikan satu persembahan bertenaga dua jam tanpa henti bergabung di atas satu pentas.
Gig Triple Play yang menampilkan persembahan penuh karisma dari tiga kumpulan hebat, Bunkface, Hujan dan Nidji disaksikan oleh lebih 1000 peminat yang hadir menyaksikan konsert tersebut di KL Live, Kuala Lumpur.
Suntikan kreatif muzik tiga kumpulan hebat dari dua negara itu sememangnya paling dinanti-nantikan terutamanya golongan muda yang dahagakan muzik kreatif.
Menurut Sherina Nordin, Pengurus Besar TV9, “Kejayaan dan penerimaan positif Versus telah membuktikan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk evolusi muzik yang lebih besar. Kami menampilkan Gig Triple Play sebagai platform untuk meletakkan ketiga-tiga kumpulan besar ini di tahap yang sama.”

Bunkface diberi pengiktirafan untuk membuka pentas dengan menampilkan lagu bertajuk More. Kumpulan yang dianggotai oleh Sam, Paan dan Youk itu turut membawakan lagu kontroversi, Panik sebelum meneruskan persembahan mereka dengan lagu Kita Perang Kita Menang.
Kehebatan Bunkface diuji apabila mereka perlu mengasah kreativiti mereka dengan membawakan lagu dari band lain. Bunkface memilih lagu Shadow dari kumpulan Nidji dan Lonely Soldier Boy (Hujan).
Sangat menarik apabila Sam memilih untuk beraksi di bahagian drum untuk lagu nyanyian asal Andy Koyama manakala Youk menggalas tanggungjawab sebagai vokalis utama.
Satu peningkatan ketara yang ditampilkan Bunkface adalah persembahan vokal Sam ternyata amat baik berbanding persembahannya yang terdahulu, lebih-lebih lagi persembahan secara langsung sebegini.

Mengambilalih pentas ialah kumpulan yang baru sahaja dinobatkan sebagai Rockstar Versus musim pertama, Hujan.
Kumpulan yang berani bereksperimentasi dengan pelbagai genre muzik itu memilih lagu Ekstravaganza, lagu asal kumpulan Bunkface.
Seperti kebiasaan, persembahan Hujan tidak lengkap tanpa penglibatan kumpulan peminat mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai Raingers.
Pada beberapa sudut, kumpulan Raingers akan turut menari dan menyanyi bersama-sama. Bayangkan bagaimana gamatnya KL Live apabila Hujan membawakan lagu “signature” mereka sewaktu pertandingan Versus iaitu Lamunan Terhenti.

Bukan lagu milik kumpulan Hujan, pemilik lagu tersebut ialah Aris Ariwatan. Namun, seluruh dewan bergema dengan nyanyian setiap bait lirik dari lagu tersebut bersama-sama Noh.
Tidak mustahil lagu yang popular sekitar 90an itu akan terus segar lebih 100 tahun yang akan datang sekiranya inisiatif memberikan nafas baru pada lagu-lagu malar segar seperti yang dilakukan Hujan dalam Versus diteruskan.
Lebih gamat apabila Noh, selaku vokalis Hujan membawakan lagu “signature” kumpulan Nidji iaitu Laskar Pelangi dari filem fenomena dengan tajuk yang sama.
Kumpulan yang dianggotai oleh Noh Salleh, Hang Dimas, Izzat, AG Coco dan Azham itu meneruskan persembahan bertenaga mereka dengan lagu-lagu dari album terbaru mereka yang berjudul Sang Enemy iaitu Rumah Kita dan menutup persembahan mereka dengan lagu Ke Selatan.

Nidji mengambil tempat mengisi segmen terakhir dengan pilihan lagu-lagu bergenre pop alternatif. Popular bukan sahaja di Indonesia dan Malaysia, Nidji turut pernah menempa nama di Jepun, Hong Kong dan Amerika Syarikat.
Memulakan persembahan mereka dengan lagu Indahnya Cinta, Nidji telah memilih lagu Muda oleh kumpulan Hujan untuk segmen “shuffle”.
Karisma vokalis Nidji, Giring di atas pentas sukar untuk dinafikan. Gerak-gerinya di atas pentas memiliki tarikan seksual yang cukup kuat. Aura yang ditampilkan oleh Giring cukup menyerlah.
Sekiranya anda tidak percaya, saksikanlah persembahan Giring secara langsung dan nilaikan sendiri.

Setiap pergerakannya dikoreograf dengan baik mengikut rentak lagu. Nidji. Walaupun pernah menyaksikan persembahan Nidji sebelum ini, kelainan tetap ditampilkan pada persembahan terbarunya.
Nidji kemudiannya meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu Child, Sudah dan Kau dan Aku secara medley.
Nidji turut membawakan lagu Save Me sebelum memukau penonton dengan persembahan vokal terbaik Giring dalam lagu Situasi, lagu asal kumpulan Bunkface.
Kehangatan malam itu ditutup oleh Nidji dengan lagu Disco Lazy Time.
Namun, kepuasan penonton masih belum dipenuhi. Mereka masih belum mahu berganjak pulang. Giring, vokalis Nidji kemudiannya bergabung tenaga dengan Noh (vokalis Hujan) dan Sam (vokalis Bunkface) membawakan lagu Nidji, Biarlah.

Menyaksikan Gig Triple Play, muzik bukan sekadar boleh dijadikan satu hiburan yang dapat mengisi kekosongan jiwa. Malah, muzik juga boleh menjadi satu wadah penyatuan yang merapatkan jurang perbezaan.
Jelas Giring, vokalis Nidji, “Di pentas ini kami lupakan dari mana kami datang. Kami bukan dari Indonesia dan juga bukan Malaysia. Tiada perbezaan langsung, malah muzik telah menyatukan kami. Di atas pentas ini, kami lupakan semua itu.”
Tambah Giring lagi, “Hujan dan Bunkface sangat hebat dan malam ini mereka terbukti hebat."
Pastinya Gig Triple Play telah meninggalkan kesan kepada penonton dan terpahat satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan buat semua peminat yang telah memberikan sokongan jitu buat TV9 selama ini.

Penganjuran Gig Triple Play yang dilakukan sebagai meraikan ulang tahun keenam saluran TV9 turut disiarkan secara langsung di saluran tersebut.


