Hanya Berkawan, Rozita Che Wan Makan Durian Bersama Asraruddin
" Kami berdua memang kawan. Tak tahu macam mana orang boleh kata kami bercinta. Nak kata kami keluar berdua, kami pergi makan durian sekali adalah. Itu pun sebab tempat makan durian itu dekat dengan rumah saya. Hubungan kami macam kawan-kawan yang lain. Ini pun dah lama kami tak jumpa", ujar pelakon terkenal, Rozita Che Wan berkenaan gosip yang timbul mengaitkan beliau dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Asraruddin Putra Omar.
" Saya kenal dia pun melalui Zakwan. Bila Zakwan dating dengan Ayu, Zakwan akan bawa dia dan Ayu akan bawa saya. Kira macam kami ini peneman mereka berjumpalah. Itu yang kami kenal. Bila saya baca gosip tersebut mengatakan Asraruddin bergaya sebab saya, lagilah saya tertanya-tanya. Dah dia memang bergaya. Bukan sebab saya pun ", ujar Rozita yang sentiasa senyum walau diasak pelbagai soalan.
Rozita ditemui ketika memeriahkan Majlis Berbuka Puasa dan Sidang Media Kita Punya Raya TV9 dan HotFm bertempat di Saloma Bistro semalam. Menyentuh mengenai gosip yang disiarkan portal hiburan tersebut, Rozita menganggap semua itu lumrah bergelar anak seni.
" Ada sahaja gosip yang cuba mereka kaitkan. Mula-mula dahulu dengan Zain, lepas itu Beego. Sekarang Asraruddin. Lepas ini tak tahulah pula siapa. Orang pun jadi takut nak dekat dengan kita sebab ingat kita ini banyak boyfriend ", ujar Rozita dalam nada berseloroh.
Menyentuh mengenai persiapan rayanya, Rozita yang akan pulang beraya di kampungnya di Alor Setar telah pun menyiapkan kelengkapan terutamanya baju raya beliau dan anak-anak sebelum puasa lagi. Memilih rona merah untuk digayakan bersama anak-anaknya 1 Syawal nanti, kesibukan di bulan Ramadhan menyebabkan beliau lebih selesa membuat persiapan awal.
" Waktu raya memang waktu yang kami sekeluarga tunggu. Cuma tahun ini merupakan kali pertama Ayu tak beraya dengan kami. Tahun lepas Zakwan dah raya sini jadi tahun ini giliran Ayu pula ke Seremban. Memang suasana itu akan berbeza sebab bila semua orang dah berkeluarga, masing-masing ada komitmen sendiri ", ujar wanita berusia 38 tahun ini yang juga kakak kepada pelakon Ayu Raudhah.
" Saya paling ingat waktu kami adik-beradik bujang dahulu, balik tarawikh sahaja kami akan kumpul dekat meja makan dan jahit beading baju raya sama-sama. Seronok sangat bila ingat saat itu. Tahun ini saya cuti raya 10 hari. Raya ketiga nanti saya akan buat rumah terbuka dekat kampung. Pada peminat semua dijemput hadir ke rumah memeriahkan rumah terbuka saya ".
Berbicara mengenai karier seninya, Rozita bersyukur kepada Allah kerana Ramadhan ini beliau dilimpahkan rezeki menerusi beberapa tawaran lakonan. Baru sahaja selesai pengambaran Cerekarama, Lepas Raya Harap Balas bersama Zamarul Hisham, Fathia dan Izzue Islam, Rozita juga turut akan muncul dalam beberapa telemovie lain seperti Ramadhan Yang Meletup (RTM), Bedah Tong Gas Nak Raya (TV9) dan PA Ku Diva arahan Rashid Sibir.
Juadah raya yang menjadi pilihan Rozita ialah Ketupat Palas. Menariknya, ibu kepada dua orang anak ini akan memakan ketupat tersebut bukan bersama rendang atau kuah kacang, sebaliknya susu pekat manis. Rozita turut menambah, hidupnya tak akan lengkap tanpa nasi justeru walaupun 1 Syawal, beliau tetap akan mencari nasi sebagai hidangan.
Apa-apapun, GUA tabik dengan Rozita kerana sentiasa positif walaupun berhadapan dengan pelbagai kontroversi. GUA sendiri menyenangi Rozita kerana sepanjang temubual, Rozita memberikan kerjasama yang baik. Sudahlah peramah, cantik pula orangnya. Tidak hairanlah Rozita menjadi buah mulut lelaki-lelaki di luar sana yang ingin mendekatinya. Akhir kata, GUA mendoakan yang terbaik buat Rozita Che Wan.


