Hikmah Dari Kontroversi, Prema Yin Bangkit Kembali

12 May 2012, 02:46pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Suatu ketika dahulu, nama penyanyi wanita berbakat ini menjadi buah mulut peminat muzik tempatan apabila muzik videonya yang dilakonkan bersama Shahrizal Jaszle dikecam hebat dek aksi yang dikatakan melampaui norma ketimuran dan adab budaya kita. Sungguhpun begitu, pahit manis tersebut dijadikan pembakar semangat buat Prema Yin untuk terus mempertaruh bakatnya dalam industri muzik tempatan.

“Pengalaman lalu menjadikan saya lebih matang dan kuat untuk berada dalam industri ini. Saya akui saya sendiri terkejut mendapatkan reaksi orang ramai apabila muzik video ‘Marilah’ itu mula-mula dilancarkan. Tapi saya ambil itu semua sebagai satu cabaran. Ini minat saya dan saya tak akan berhenti berkongsi bakat dan muzik saya “.

“Saya bersyukur kerana keberadaan saya dalam industri muzik ini diterima baik peminat walaupun selepas apa yang melanda saya. Saya sangat menghargai segala sokongan dan semangat yang anda berikan. Ia begitu bermakna buat saya “, ujar Prema yang juga telah pun melancarkan muzik video lagu ‘Superstar’ di laman sesawang Youtube.

Terbaru, single terbaru beliau ‘Prove It To Me’ mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik Inggeris tempatan. Mula mendaki tangga carta muzik tempatan, kejayaan lagu ini mencapai kemuncaknya apabila baru-baru ini berjaya dinobatkan juara carta M10 Hitz.FM.

Prema yang baru sahaja pulang dari membuat persembahan istimewa di Indonesia sempat berkongsi pengalamannya menempuh liku-liku bergelar seorang anak seni. Pengalaman mengadakan persembahan di sana selama 8 hari tidak dapat beliau lupakan. Kunjungan beliau bersempena ulangtahun Radiohead di sana juga menjadi platform Prema mempromosikan muziknya dalam beberapa sesi temuramah di radio-radio di Jakarta, Bandung dan Purwakarta.

“Saya berasa sungguh terharu dengan sambutan peminat di sana. Mereka menerima kehadiran saya dengan baik. Saya ingin sekali lagi kembali mengadakan persembahan di sana. Saya lebih menggemari aliran muzik pop rock namun dalam masa yang sama hampir kesemua lagu saya disuntik dengan elemen-elemen lain seperti jazz supaya lebih segar dan moden “, ujar Prema.

Prema juga akan terbang ke negara Jerman bulan hadapan bagi menguruskan perbincangan mengenai album terbarunya yang dijangka siap hujung tahun ini. Peluang berkerja bersama penerbit muzik tersohor seperti Bill Grainer yang pernah berkerja bersama Jennifer Hudson umpama pucuk dicita ulam mendatang buat Prema. Selain itu, Michelle Vise yang pernah menyumbangkan tenaga kerja dengan penyanyi Kesha juga dikhabarkan akan terlibat dalam pembikinan album terbaru Prema.

Bagi pembaca GUA yang ingin mengenali Prema Yin dengan lebih lanjut, bolehlah melayari laman sesawang www.premayin.com. Di sana juga anda boleh memuat turun lagu-lagu Prema secara eksklusif. Selain itu, perkembangan aktiviti seharian Prema juga boleh diikuti menerusi Twitter @premayinmusic atau di www.facebook.com/premayin.

Google Ads


Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)