Johan Botak Terajui Pencinta

12 Jun 2012, 12:53am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Rezeki Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2011, Johan Asari semakin mencurah apabila beliau kini diberi tanggungjawab besar untuk menggalas watak sebagai teraju utama dalam filem terbaru terbitan Grand Brilliance, ‘Pencinta’.

“Setakat ini saya sudah membintangi tiga buah filem, ‘Juvana’ serta ‘Tokan’ dan ‘Pencinta’ merupakan filem pertama saya sebagai teraju utama. Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana diberi kepercayaan untuk membawa watak hero dan saya akan cuba buat yang terbaik untuk menjayakan watak yang diberi,” ujar Johan ketika ditemui di lokasi penggambaran filem ‘Pencinta’, baru-baru ini.

“Saya memegang watak sebagai Amir, bekas anggota kumpulan samseng yang kini mula berubah selepas kematian ibunya. Selepas buat ‘Pencinta’, baru saya tahu yang nak bawa watak utama bukan mudah. Bagi saya, ia satu cabaran yang berbeza antara filem dan drama.”

Berkongsi mengenai cabarannya, Johan memberitahu, “Cabaran dalam filem ini mula-mula ringan, namun makin lama makin berat. Saya kena berlakon babak cinta di mana saya perlu keluarkan emosi saya. Saya juga perlu melakukan babak aksi dan ini kali pertama saya bergaduh beramai-ramai.

“Saya perlu berlawan dengan lapan orang seorang diri dan selepas lakukan babak itu, badan saya mengalami luka. Malah, bila buat ‘Pencinta’, baru saya dapat rasa nikmat berlakon dan tidak dinafikan, makin lama dalam industri, makin susah saya rasa berlakon ini,” ujar Johan mengakui teruja bekerja di bawah pengarahan Khir Rahman.

“Saya rasa sangat gembira dapat bekerja di bawah arahan Khir. Dia bagi saya satu semangat serta keyakinan dan saya hargai setiap yang diajar oleh beliau. Khir ajar saya dari watak kecil sehinggalah besar dan beliau buat watak saya berbeza sekali. Selepas ini, saya akan rindu dengan pengarahan beliau.”

Selain ‘Pencinta’, Johan turut bakal muncul dalam drama ‘Udin Glamor Balik Kampung’ di RTM dan filem ‘Naga’ arahan Raja Mukhriz. Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan atau gambar lakonan Johan dalam filem ‘Pencinta’, anda boleh layari www.facebook.com/filempencinta.

Google Ads





Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad