Juliana Evans Timba Banyak Pengalaman Di AS
Pelakon Juliana Evans akui timba banyak pengalaman baru sepanjang lima bulan berada di Amerika Syarikat (AS) bagi melanjutkan pelajarannya dalam Ijazah Sarjana Muda Perfileman, Video dan Media di Universiti Western Michigan.
Mesra dengan panggilan Jue, gadis kacukan Melayu Inggeris ini turut mengakui berasa bertuah dan bersyukur kerana sepanjang berada di AS, beliau banyak dibantu oleh rakyat Malaysia di sana.
“Pada awalnya banyak juga cabaran yang terpaksa ditempuhi, namun rakyat Malaysia di sana banyak membantu Jue. Jue berasa seronok sangat berada di sana kerana banyak pengalaman baru yang ditimba,” ujar Jue ketika ditemui baru-baru ini.
“Kehidupan di sana sangat sederhana dan kelas saya semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah, saya dapat menyesuaikan diri dan selesa berada di situ. Saya banyak belajar benda baru seperti hidup berdikari dan juga cara menguruskan diri.”
Berkongsi mengenai pengalamannya lagi, pelakon ‘Hantu Bonceng’ ini memberitahu, “Banyak perbezaan antara industri seni Malaysia dan AS kerana di sana susah untuk orang masuk dalam industri seni. Tak macam di sini peluang itu lebih senang, sebab Malaysia kecil.
“Walaupun begitu, Jue teringin sangat bekerja di Los Angeles kelak sebab nak cari pengalaman baru. Sekarang inipun Jue dah mula hantar resume ke beberapa buah agensi bagi mencuba nasib dalam industri mereka,” ujar Jue mengakui ada menerima tawaran dari agensi di Chicago namun terpaksa menolak kerana tidak mempunyai kenderaan untuk ke sana.
Dalam perkembangan lain, kepulangan pemilik nama Juliana Sophie Johari Evans ini juga adalah bagi mempromosikan filem terbarunya, ‘Mael Lambong’ yang sudah mula ditayangkan sejak 21 Jun lalu. Memegang watak sebagai Maria, Jue mengakui puas berlakon dalam filem terbaru gandingannya dengan Zizan itu.
“Filem ini agak mencabar kerana Jue terlibat dengan babak bergaduh dan juga aksi drift. Jue takut sangat ketika melakukan aksi drift namun, Jue puas berlakon dalam filem ini. Cabaran lain ialah Jue kena melakonkan watak serius. Zizan selalu buat lawak di set jadi Jue kena tahan gelak.
“Selain filem ‘Mael Lambong’, kepulangan Jue di tanah air juga adalah bagi menjalani penggambaran filem ‘Dampak’. Jue tak sangka masih ditawarkan berlakon walaupun ketika Jue berada di sana.
Sekurang-kurangnya, terubat juga rindu Jue nak berlakon,” ujarnya yang bakal berada di Malaysia sehingga Aidilfitri ini.


