Keith Foo Tak Kenal Aaron Aziz & Remy Ishak

30 Jan 2013, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Pelakon kacak dari Indonesia, Keith Foo mengakui dia tidak mengenali mana-mana hero filem tempatan. Sebaliknya mengenali Erra Fazira kerana pernah digandingkan dalam telemovie arahan Michael Ang berjudul ‘Karna Kamu Cinta’ yang bakal ditayangkan di saluran Astro pada Februari.

“Saya akui tidak mengenali mana-mana pelakon Malaysia. Aaron Aziz saya pernah mendengar nama dia. Saya tahu dia berasal dari Singapura, tetapi saya tidak pernah lihat lakonan dia. Begitu juga dengan Remy Ishak. Saya tidak kenal dia. Tapi, saya kenal Erra Fazira sebab pernah berlakon dengan dia dalam ‘Karna Kamu Cinta’,” ujar Keith yang kini sedang mencari masa untuk menonton filem-filem Malaysia.

Siapa Keith Foo? Mungkin itu pula persoalan yang bermain di fikiran anda? Untuk makluman anda, Keith Foo merupakan aktor dan model berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, tetapi kini sedang menempa nama di Indonesia.  Jejaka berusia 30 tahun ini sudah 10 tahun menetap di  Jakarta selepas terlibat dengan iklan komersial di sana.  Keith memulakan kerjaya lakonan kira-kira enam tahun lalu apabila berjaya membintangi sinetron ‘Serpihan’ dan filem  ‘Mati Suri ’ arahan Rizal Mantovani.

Kini, Keith Foo melebarkan sayapnya  ke Malaysia apabila dia mula diintai oleh penerbit dan stesen televisyen Malaysia. Terbaru, Keith membintangi drama bersiri ‘Dalam Setiap Sujud’  yang ditayangkan di TV9 pada setiap Isnin dan Selasa, jam 8.30 malam. Keith digandingkan bersama Nur Fathia dan Azlee Khairi untuk cerita yang turut menjalani pengambaran di Jogjakarta ini.

Bercerita tentang penglibatannya dengan produksi Malaysia, Keith memberitahu dia berasa cukup teruja apabila mendapat peluang berlakon di Malaysia. Bagi Keith, sudah sampai masanya dia memberi  sesuatu kepada industri hiburan tempatan.

“Setelah 10 tahun berada di Indonesia, sudah pasti saya ingin kembali ke negara sendiri untuk berlakon. Sudah sampai masanya saya memberikan sesuatu untuk rakyat Malaysia. Jadi, apabila ada pihak yang mahu mengambil saya berlakon, saya tidak lepaskan peluang. Saya harap, peminat drama di sini boleh menerima kehadiran saya seadanya.
 
Saya sanggup tolak beberapa tawaran berlakon di Jakarta semata-mata ingin berada di Malaysia sehingga Mei ini. Mudah-mudahan, dalam tempoh ini saya boleh mendapat tawaran kerja yang menarik, “ ujar Keith yang akan memulakan penggambaran telemovie ‘Darah Kasih’ bersama TV9 dalam sedikit masa lagi.

Jika anda ingin mengikuti perkembangan terkini pelakon kacak ini, anda boleh mengikuti Keith di Twitter miliknya @keithfoo83.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)