Kenyataan Rasmi Aaron Aziz Mengenai Status Penduduk Tetap

12 Apr 2012, 03:02pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Artikel bertajuk “Permohonan Aaron Diluluskan, Tunggu Masa Untuk Ambil Kad MyPR?” yang disiarkan di portal GUA semalam menerima pelbagai reaksi. Susulan artikel tersebut, hari ini, pemegang gelaran Bintang Paling Popular ABPBH 2011, Aaron Aziz tampil memberikan kenyataan rasminya kepada blogger Hazrey.com yang juga merupakan wartawan Zulhazri Abu Bakar.

Terdahulu blogger yang lebih dikenali dengan nama Hazrey itu telah menerbitkan satu entri bertajuk "Aaron Aziz Nafikan Apa Yang Telah Terkeluar Dari Mulutnya". Kenyataan balas ini dibuat susulan penafiannya terhadap status kelulusan taraf penduduk tetapnya yang telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Berikut merupakan "screenshot" emel daripada Aaron Aziz:

Dan berikut merupakan teks penuh kenyataan Aaron sendiri:

Salam Hazrey,

Pertama sekali, Alhamdulillah kerana sempat bertemu Hazrey di Sri Pentas tempohari dan tak sangka, ada wartawan yang sporting dan kita sempat bergurau biarpun waktu membatasi kita untuk berborak lebih lama. Tentunya banyak isu menarik boleh dikongsi jika masa mengizinkan.

Apapun, harap kita akan dapat bertemu sekali lagi!

Aaron ingin mengucapkan terima kasih kepada Hazrey kerana menyiarkan mengenai hasrat Aaron melalui blog Hazrey.com tentang kenyataan Aaron terhadap permohonan taraf Penduduk Tetap di tanah bertuah ini. Sememangnya, sejak mula berkecimpung dalam industri seni ini, Aaron sentiasa teruja untuk berkongsi bakat, menuntut ilmu dari mereka yang arif dalam industri di Malaysia ini.

Malah, kita sendiri tahu, Malaysia dan Singapura hanya dipisahkan oleh Selat Tebrau dan tak pernah terpisah oleh pertalian darah kita, persaudaraan kita dan ini diperkukuhkan lagi melalui jalinan pelbagai industri termasuk industri seni ini sendiri. Dan Aaron bersyukur, isteri dan anak-anak gembira berada di Malaysia sepanjang saya terlibat dengan kerjaya seni saya ini. Pada saya, tiada sempadan dalam industri seni kita ini. Dan saya bersyukur diberi peluang oleh saudara saudara saya di Malaysia untuk aktif dalam industri yang saya pandang satu industri yang sangat hebat!

Tujuan saya mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Malaysia adalah bagi memudahkan saya menjalankan aktiviti seni saya dan saya tak sampai hati melihat isteri dan anak-anak terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura bagi mengecop passport kerana mereka datang ke sini menemani Aaron. Mereka adalah kekuatan saya, merekalah motivasi kepada saya dan kehadiran mereka menguatkan semangat saya untuk bekerja.

Dalam pertemuan saya dengan Hazrey Selasa lalu di bilik berita TV9 adalah satu pertemuan yang sangat saya hargai apatah lagi dapat bertemu dengan ramai lagi rakan wartawan yang tak jemu membantu Aaron dalam industri.

Sebenarnya, Aaron tak menafikan apa yang dilafazkan sebagaimana ditulis Hazrey melalui blog hari ini namun Aaron akui, Aaron tersilap kerana apa yang diucapkan adalah gurauan semata-mata kerana ketika itu kita sedang rancak berbual mengenai komen Zed Zaidi dan sempat menyelitkan gurauan.

Saya minta maaf kerana Hazrey membuat intepretasi berbeza di atas semangat Aaron yang setiap hari berdoa dan mengharapkan permohonan Aaron dapat diluluskan kerajaan Malaysia.

Untuk makluman Hazrey, permohonan Aaron belum diluluskan dan mungkin Aaron terlalu excited hingga membuatkan interpretasi berbeza diterima Hazrey dan rakan-rakan wartawan lain ketika itu. Saya tidak menyalahkan Hazrey dan rakan-rakan kerana mendapat intepretasi yang berbeza kerana secara jujurnya, Aaron masih lagi excited untuk mendapat taraf Penduduk Tetap di negara ini. Saya akui, kadangkala keterujaan kita memungkinkan kita untuk melafazkan sesuatu di luar intepretasi mereka yang mendengar.

Apapun, Aaron sentiasa berdoa permohonan Aaron ini tidak bermasalah kerana Aaron ingin menyumbang bakat tak seberapa Aaron ini untuk saudara saudara Aaron di Malaysia ini. Ya, tak pernah Aaron anggap mereka sebagai peminat tetapi mereka adalah saudara saudara Aaron dan keluarga kerana mereka sendiri sudah menganggap Aaron dan keluarga sebahagian dari mereka.

Untuk makluman Hazrey, anak-anak Aaron yang menjadi pillar of strength Aaron dan isteri, Diyana sudahpun bersekolah di Malaysia dan mereka sangat gembira dengan persekitaran serta rakan-rakan baru mereka di sini dan ini sangat menggembirakan kami berdua.

Sekali lagi, saya mohon maaf jika kenyataan saya pada Hazrey tempohari menerima intepretasi berbeza dek rasa teruja Aaron untuk menjadi sebahagian dari saudara saudara Aaron di Malaysia ini.

Salam dari saya sekeluarga.

Aaron Aziz
12 April 2012
Kuala Lumpur

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad