Kepulangan Adflin Shauki Bawa Bowl Ke Puncak

17 Apr 2013, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Setelah menduduki tangga terbawah di konsert pertama kumpulan A, anak didik Afdlin Shauki, Kumpulan Bowl menebus kehampaan dua minggu lalu dengan menjuarai konsert kedua kumpulan tersebut. Mengangkat tema ‘Bomba Praktikal’ ke dalam persembahan mereka, duo ini mencuri tumpuan dengan kombinasi serasi bersama sifu mereka.

Peningkatan mutu persembahan Bowl yang cukup memberangsangkan wajar dipuji. Maklumlah, mereka baru sahaja mendapat sentuhan Afdlin setelah ‘ditinggalkan’ pelakon Buli itu yang mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini. Sepanjang pemergian Afdlin ke Tanah Suci itu, Johan Raja Lawak diamanahkan mengajar anak didik beliau.

Mengulas sama ada kehadiran Afdlin penyebab utama kemenangan itu, Afdlin merasakan kelemahan yang perbaiki dari semasa ke semasa merupakan ramuan utama kejayaan Bowl. Berpendapat Johan punya cara tersendiri dalam memberi tunjuk ajar, Afdlin berjaya mengenalpasti kelemahan Bowl di minggu pertama yang kemudiannya diperbaiki untuk konsert kali ini.

Jelas Afdlin, penguasaan dari segi nyanyian merupakan kelemahan Bowl dan tindakan memberikan lagu berentak perlahan hanya akan memperlihat kekurangan itu. Justeru, Afdlin memilih lagu yang lebih rancak menggunakan lagu tema drama bersiri kepolisan ‘Gerak Khas’ yang dilihat menjadi di tangan Syed Ali dan Danial.

Sementara itu, peserta pilihan ramai Achey berjaya menampilkan persembahan bersahaja. Anak didik Harun Salim Bachik ini bijak menyusun punch line sehinggakan mendapat markah penuh dari juri awam. Beraksi solo bukanlah alasan untuk Achey gentar di pentas BMB. Ketinggalan hanya beberapa mata dari Bowl pada konsert kedua BMB, Achey masih mendahului carta keseluruhan kumpulan A dengan 140.8 mata.

Kredibiliti Faizal Ismail juga tidak dapat disangkal lagi. Penyampai radio Hot FM ini membuktikan bakat yang dimiliki beliau tidak terhad dan persembahan anak didiknya Tapaw juga berjaya membuatkan penonton di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral ketawa. Diiringi penari-penari wanita selaku props tambahan, elemen muzikal lengkap menghiasi persembahan mereka.

Tiga lagi kumpulan lain iaitu Kelawak (Raja Azura), Big Too (Sabri Yunus) dan juga Tocai (Senario) berusaha mempamerkan persembahan terbaik namun tenggelam dek kehebatan peserta lain. Mungkin masih awal untuk menilai keupayaan mereka, konsert ketiga akan datang pasti menjadi medan pertempuran kesemua enam sifu bagi memastikan anak didik masing-masing mara ke peringkat seterusnya.

AR Badul bertindak selaku juri tetap manakala pengarah Ahmad Idham, menggantikan Fauziah Dato’ Ahmad Daud yang tidak dapat hadir manakala Black Mentor diundang selaku juri vocal jemputan. Program yang diacarakan Adibah Noor ini bakal menyambung misinya mencari penghibur serba boleh tanahair.

Konsert Ahad ini menyaksikan enam lagi anak didik sifu-sifu ini bertanding. Bagi yang terlepas menyaksikan BMB, jangan lupa saksikan ulangannya di www.tonton.com.my. BMB bersiaran setiap Ahad jam 9.00 malam hanya di saluran inspirasiku, TV3!

 

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)