Khir Rahman Nafi Tersasar Dalam Pencinta
Pelakon serta pengarah, Khir Rahman menafikan beliau tersasar dalam filem terbaru arahannya, ‘Pencinta’, namun sebaliknya, beliau sendiri menyasarkan filem tersebut supaya ia menjadi sebuah filem arus perdana yang komersial dan boleh diterima ramai.
Sebelum ini, menerusi filem sulung arahannya, ‘…Dalam Botol’, Khir cukup terkenal dengan menggunakan bahasa filem dalam setiap struktur plot penceritaannya dan lari dari pendekatan nilai-nilai komersial. Namun, bagi filem terbaru terbitan Grand Brilliance ini, Khir mengubah strategi pengarahannya dengan menerapkan elemen komersial dalam filem tersebut.
“Saya tak nak guna perkataan tersasar tapi saya sendiri menyasarkan ia di mana perubahan itu dibuat dalam keadaan sedar. Apa yang berlaku sekarang ialah proses adaptasi saya dalam mengenal langit dan bumi. Saya buat filem sebegini kerana ingin memberi peluang pada diri saya untuk terdedah dengan pendekatan lain.
“Saya masih menggunakan metafora bahasa filem dalam ‘Pencinta’, namun sinema bahasa filem dalam filem ini telah dikurangkan. Dalam filem terbaru arahan saya ini, saya ingin menghiburkan penonton dan saya harap mereka akan suka dan jatuh cinta dengan filem ‘Pencinta’ ini,” ujar Khir ketika ditemui di lokasi penggambaran ‘Pencinta’, baru-baru ini.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang sebulan menjalani penggambaran filem ini, Khir memberitahu, “Tidak dinafikan, cabaran dalam menghasilkan filem ini amat berbeza sekali. Susah juga nak menghasilkan filem yang komersial. Kita kena kaji apa yang orang suka dan apa yang mereka nak tonton. Jadi di sini, apa yang kami cuba lakukan ialah dengan seimbangkan dari segi plot untuk mendapatkan impak bila mereka menonton filem ini.”
‘Pencinta’ merupakan sebuah filem yang memuatkan serta menggabungkan pelbagai elemen kasih sayang, romantik, kemanusiaan serta kehidupan normal yang biasa dihadapi oleh setiap manusia. Filem bergenre aksi romantik ini merupakan karya nukilan Khir sendiri dan dibintangi oleh Johan Asa’ri, Siti Saleha, Sein Ruffedge, Faizal Hussein, Miera Liyana, Azhan Rani, Iedil Putra dan ramai lagi.
“Jika ‘…Dalam Botol’ berdasarkan kisah benar, ‘Pencinta’ pula datang dari zahir cerita sebenar. Watak ini saya cipta di mana saya percaya, ini merupakan formula untuk penonton Malaysia suka dengan filem ini. Saya percaya, jalan cerita ini juga boleh dijual,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Filem ‘Pencinta’ bakal menjengah pawagam pada 2013 dan bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan filem ini, jangan lupa layari www.facebook.com/filempencinta.


