Konsert Aku Sudirman Kenang Lagu-Lagu Nyanyian Sudir
Sempena memperingati 20 tahun pemergian Penghibur Nombor Satu Asia, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad, sebuah konsert telah diadakan pada Ahad lalu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Konsert Aku Sudirman dibarisi bintang ternama tanahair antaranya Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ Khatijah Ibrahim, Jaclyn Victor, Kumpulan Hujan, Ziana Zain, Misha Omar, Hafiz, Adira, Azlan & The Typewriter dan ramai lagi.
Lebih 5000 peminat muzik tanahair membanjiri stadium itu seawal pukul 6 petang bagi menyatakan rasa kekaguman mereka terhadap penyanyi kelahiran Temerloh Pahang itu.
Selain ditugaskan untuk menjadi pengacara konsert tersebut, Dato’ AC Mizal membuka pentas persembahan dengan lagu Chow Kit Road!.
Antara persembahan yang menambat hati penonton termasuk nyanyian lagu tema filem Kami iaitu Pelangi Petang yang telah disampaikan dengan baik oleh Hafiz. Juara Akademi Fantasia 7 itu turut berduet dengan Dato’ Siti Nurhaliza menyampaikan lagu Bimbang Terluka Lagi.

Sebagai anak kelahiran Pahang, Siti turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan tiga buah lagu iaitu Jauh Di Sudut Hati dan medley Aku Penganggur dan Baru Dapat Kerja.
Penghibur seangkatan Sudirman, Dato’ Khatijah Ibrahim turut menyampaikan lagu Kasih. Penonton turut diimbas kembali klip-klip video persembahan Allahyarham yang pernah dilakukannya sepanjang hayatnya.
Penyanyi hip-hop Altimet turut mencuri perhatian dengan dendangan lagu 8 ke 4 ½ Punch Card versi baru. Turut membuat penampilan khas ialah pelakon filem Hoore! Hoore! yang menyampaikan lagu Hoore! Hoore! dari filem tersebut.

Penyanyi Jaclyn Victor menyampaikan lagu yang pernah mengangkat nama Sudirman di Royal Albert Hall, London iaitu One Thousand Million Smile.
Sementara itu, penyanyi Misha Omar menyampaikan lagu Hujan dan Ziana Zain mempersembahkan lagu Terasing.
Kumpulan Hujan turut menyampaikan lagu Toyol dan Salam Terakhir, Adira (Merisik Khabar) dan Alyah (Bila Wajahmu Kubayangkan)

Persembahan konsert selama lebih 2 jam itu diakhiri dengan persembahan Rahim Maarof yang membawakan lagu medley Dir dan Aku Penghibur.
Turut hadir ialah anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali dengan gelaran Atai.
Persembahan artis telah diiringi oleh Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Konsert Aku Sudirman turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Prima dan Astro Hitz TV. Buat pertama kalinya dalam sejarah, konsert itu juga disiarkan di portal video terkemuka dunia, YouTube.


