Konsert Homecoming Yuna Hargai Peminat Luar KL
Penyanyi popular Yunalis Zaraai atau Yuna bakal mengadakan dua konsert istimewa pada November hadapan. Konsert yang dinamakan Yuna Homecoming ini bakal diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di Penang Times Square, Pulau Pinang dan Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada 10 November dan 16 November hadapan.
Bercakap kepada pihak media, Yuna yang ditemui di sidang media konsert ini memberitahu dia sebenarnya sudah lama mengimpikan sebuah konsert dalam skala yang besar. Jelasnya, setelah enam tahun berada di dalam industri, dia harus memberikan sesuatu yang istimewa kepada peminat.
“Sebelum ini saya pernah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Jadi kali ini saya memilih lokasi di luar Kuala Lumpur pula sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang berada di negeri-negeri lain. Untuk konsert di Pulau Pinang misalnya, saya percaya ia memberi peluang kepada peminat dari Kedah dan Perlis untuk sama-sama menyaksikan konsert ini. Yuna Homecoming Concert adalah hadiah untuk peminat yang tidak jemu menyokong saya selama ini. Dalam konsert itu, saya akan berkongsi pengalaman sepanjang berada di Amerika Syarikat (US) dan yang pasti, saya akan nyanyikan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album US saya,” ujar Yuna teruja.
Dalam masa yang sama, Yuna juga mengakui dia sebenarnya agak berdebar-debar dengan projek terbarunya itu. Ini kerana dia tidak pernah menyampaikan 20 buah lagu dalam satu masa.
“Persembahan saya nanti akan mengambil masa kira-kira satu jam setengah dan dalam tempoh itu saya perlu sampaikan kira-kira 20 buah lagu. Rasa berdebar-debar juga kerana tidak pernah lakukannya sebelum ini. Cabaran terbesar adalah untuk memastikan peminat yang hadir tidak berasa bosan. Saya perlu fikirkan konsep persembahan yang menarik. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar dan konsert itu mencatatkan kejayaan, “ ujar Yuna.
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Yuna boleh didapati pada harga RM38, RM58, RM68, RM88, RM98, RM128 dan RM158. Pembelian boleh dibuat di www.ticketpro.com.my atau di Rock Corner, Victoria Music, dan The Guitar Store.
Peminat di Pulau Pinang juga boleh mendapatkan tiket di Evolution Music Store (Gurney Plaza) dan Yamaha Music (Queensbay Mall). Peminat di Kuching pula boleh menghubungi Windshield Network di 011-12001834.


