Ku Pinang Kau Dengan Bismillah Taruhan Terbaru Rossa

15 Sep 2012, 10:32am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Penyanyi yang popular dengan lagu "Ayat-Ayat Cinta", Rossa kembali dengan taruhan terbaru apabila muncul dengan album kompilasi terbaru berjudul 'The Best Of Rossa'. Kali ini, Rossa mempertaruhkan lima buah lagu terbaru termasuklah sebuah lagu duet bersama Pasha, Ungu iaitu "Ku Pinang Kau Dengan Bismillah".

Dalam sidang media sempena pelancaran albumnya di sini pada Khamis lalu, Rossa mengakui album 'The Best Of Rossa' ini dihasilkan agar ‘pencinta Rossa’ boleh menikmati lagu-lagu terbaiknya selama ini.

“Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah lagu-lagu yang secara peribadinya paling saya suka dan pernah menduduki carta nombor satu di radio-radio seluruh Indonesia dan juga Malaysia. Selain itu, ia juga memuatkan beberapa lagu baru sebagai  hadiah kepada peminat.

"Lebih istimewa, peminat di Malaysia dan Singapura mendapat lima buah lagu baru dalam album ini kerana saya turut memasukkan lagu duet bersama Taufik Batisah berjudul ‘Aku Bersahaja’. Di Indonesia, lagu ini tidak terdapat dalam album. Saya lakukan begini kerana sudah lama mahu memberi sesuatu yang lebih istimewa kepada peminat di Malaysia dan Singapura,” ujar Rossa teruja.

Menjawab tentang kerjasama kali kedua bersama Pasha Ungu, Rossa memberitahu dia senang bekerja dengan rakannya itu. Malah, dia menganggap Ungu merupakan sebuah kumpulan muzik yang hebat dan mampu menghasilkan sebuah lagu yang bagus untuknya.

“Apabila pihak pengurusan mencadangkan nama Ungu sekali lagi, saya tidak ada masalah kerana saya sangat senang bekerja dengan mereka. Mereka adalah kumpulan muzik yang hebat. Untuk menghasilkan lagu "Ku Pinang Kau Dengan Bismillah" mereka ambil masa dua minggu sahaja dan saya suka dengan lagu itu,” ujar Rossa lagi.

Selain berkolaborasi dengan Taufik Batisah dan Ungu, Rossa juga bergabung dengan Joe Flizzow bagi menghasilkan susunan muzik baru untuk lagu yang dipopularkan oleh Jennifer Lopez. Menurut Rossa dia memilih lagu itu kerana sangat meminati penyanyi itu selain mahukan sebuah lagu yang membolehkan dia menari.

“Saya bertemu dengan Joe pada penghujung 2010. Saya tahu dia seorang penyanyi  hip hop dan komposer yang bagus. Pada pertemuan pertama itu, saya sudah meminta Joe menggubah sebuah lagu untuk saya. Saya minta dia buat lagu "One Night Lover" kerana saya sangat meminati Jennifer Lopez. Pada mulanya Joe agak terkejut kerana bimbang lirik lagu itu boleh memberi reputasi kurang baik kepada saya.

Namun, saya jelaskan kepada Joe bahawa saya tidak kisah kerana saya hanya ingin menyanyikan lagu itu dengan baik. Saya menyanyi untuk bersenang-senang. Bukan ada niat lain. Jadi, terpulang kepada peminat untuk buat penilaian. Muzik video lagu ini telah dirakamkan di New York tidak beberapa lama dahulu. Saya memilih New York kerana kebetulan saya mendapat undangan menyanyi di sebuah acara fesyen di sana,” ujar Rossa.

Album 'The Best Of Rossa' kini sudah terjual hamptr 1.5 juta keping di seluruh Indonesia. Antara lagu-lagu popular yang dimuatkan ialah "Ku Menunggu", "Atas Nama Cinta", "Pudar", "Terlanjur Cinta", "Hati Yang Kau Sakiti", "Ayat-Ayat Cinta" dan "Aku Bukan Untukmu". Terdapat juga lagu duet Rossa bersama Broery Marantika menerusi lagu  "Jangan Ada Dusta Antara Kita".






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad