Lambang Harapan Pada Filem Kontradiksi
Berbekalkan kamera 50D untuk merakamkan setiap babak filem berbajet rendah, Kontradiksi hanya mengambil masa penggambaran selama 13 hari. Filem ini merupakan hasil karya pertama arahan Aloy Paradoks dan Nazri M.Annuar.
Berkongsi minat dalam bidang teater, Aloy dan Nazri mengejar impian yang sama untuk menghasilkan filem. Berdurasi selama 1 jam 5 minit, Kontradiksi menelan belanja sebanyak RM 2,500 akan dikeluarkan dalam bentuk dvd di Central Market pada 22 September.
Filem Kontradiksi ini berkisar mengenai dua orang gadis yang berbeza yang berada dalam lingkungan kawasan yang sama. Mira kecewa selepas mengetahui hubungan sulit Aman dengan Linda, iaitu bakal isteri kepada Abang Talib yang merupakan Taiko dadah di kawasan tersebut.
Ketika berada di ambang kekecewaan, sorang jejaka pengedar dadah, Amir datang mengisi kekosongan dalam diri Mira. Sementara itu, Fynn yang merupakan gadis busker cuba mengejar impian untuk merealisasikan niatnya ke New York.

Kontradiksi menyampaikan cuba menyampaikan mesej melalui dua warna yang berbeza di mana bahagian pertama filem berwarna sephia dan bahagian kedua pula hitam dan putih.
“Bahagian hitam putih melambangkan harapan dan hasrat manakala warna sephia pula meliputi nilai kekacauan yang dihadapi oleh watak-watak. Kami bermain dengan warna untuk sedikit sebanyak mempamerkan sesuatu yang terbuku di hati,
“Kami tidak mahu memberi penjelasan seratus peratus dan mungkin penonton akan pulang dengan persoalan di benak fikiran kerana akhir cerita yang membolehkan penonton untuk memilih,” ujar Aloy Paradoks ketika majlis pratonton filem tersebut di Black Box Publika baru-baru ini.


