Lena Sahara Taruhan Terbaru Alyah

2 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas single ‘Kisah Hati’ mendapat sambutan di luar jangkaan, Alyah kini bersedia untuk mempertaruhkan single terbaru berjudul ‘Lena Sahara’. Lagu ciptaan Yassin ini menampilkan genre muzik berbeza daripada lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh Alyah sebelum ini. Jelas Alyah, memang itu yang diinginkannya bagi menampilkan kelainan.

“Saya sebenarnya sudah lama hendak berkerjasama dengan Yassin, iaitu sejak di album pertama dahulu, ‘Tak Mungkin Kerana Sayang’. Tetapi ketika itu tidak ada peluang. Mungkin kerana ketika itu dia ada komitmen lain.Selepas empat tahun menunggu, akhirnya saya dapat juga lagu daripada Yassin dan saya puas hati dengan hasilnya. Saya suka mencuba sesuatu yang baru. Kalau ‘Kisah Hati’ berirama Balada, ‘Lena Sahara’ pula menampilkan world music. Masih berentak perlahan, tetapi emosinya berlainan. Mudah-mudahan ‘Lena Sahara’ boleh diterima peminat. Ini yang terbaik daripada saya,” luah Alyah.

Sementara itu, Alyah juga mendedahkan dia sanggup membelanjakan wang yang banyak bagi memastikan single terbarunya itu mendapat sambutan baik. Selain mahu memastikan ia dimainkan di corong-corong radio, Alyah juga sudah merancang untuk menjalani penggambaran video muzik di Jakarta, Indonesia selepas Hari Raya ini.

“Saya pilih untuk jalani penggambaran di Jakarta kerana saya mahu bekerjasama dengan Hedy Suryawan yang merupakan pengarah video muzik untuk ‘Tak Mungkin Kerana Sayang’ dahulu. Saya suka dengan hasil kerjanya yang sangat kreatif. Hedy memang punya nama di sana. Dia banyak buat  video muzik untuk penyanyi popular di sana seperti Peterpan, Melly Goeslaw, Agnes Monica dan Marcell. Dengan Hedy pun saya kena tunggu empat tahun untuk dapatkan khidmat dia.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa saya sanggup keluarkan bajet yang banyak untuk ‘Lena Sahara’. Jawapan saya ialah, saya mahukan yang terbaik dan saya lakukan untuk kepuasan diri sendiri.  Selain itu, saya juga yakin dengan ‘buah tangan’ Yassin ini. Jika promosi dilakukan dengan betul, rasanya lagu ini boleh pergi jauh,” ujar Alyah yang kini sedang mencari penaja untuk membawa pihak media ke Jakarta bersama-samanya.

Dalam perkembangan lain, Alyah memberitahu dia bakal melancarkan album terbaru pada awal tahun depan. Album itu akan memuatkan lapan buah lagu kesemuanuya, di mana empat daripadanya adalah single popularnya sebelum ini iaitu ‘Kau Bisu’, ‘Realiti Dewi’, ‘Kisah Hati’, dan ‘Pesananmu’. Sebagai menghargai sokongan peminat, Alyah juga merancang untuk mengadakan satu showcase istimewa sempena pelancaran albumnya itu.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad