Limelight, Buku Faizal Hussein Dedahkan Industri Yang Korup

25 Jun 2012, 01:43am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Buku tulisan pelakon Faizal Hussein yang berjudul Limelight dikatakan bakal menyinggung ramai pihak apabila pelakon filem Bunohan itu dengan beraninya mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam industri penyiaran.

Terlebih dahulu memohon maaf sekiranya tulisan dalam buku tersebut menyinggung mana-mana pihak, jelas Faizal niatnya sekadar berkongsi maklumat industri sepanjang 40 tahun penglibatannya.

“Saya hanya tulis berdasarkan pengalaman selama lebih 40 tahun saya dalam bidang ini. Saya tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak. Saya lakukan ini untuk memberikan panduan kepada penggiat generasi baru. Ia mesti dikongsikan.”

Antara cerita yang dikongsi termasuk harga bayaran yang diterimanya sebagai pelakon yang dianggap sebagai maklumat rahsia artis. Namun didedahkan Faizal untuk pelakon generasi baru membuat perbandingan antara zaman dulu dan zaman sekarang.

“Pastinya harga yang saya terima 20 tahun lalu berbeza dengan kadar harga yang diterima oleh pelakon sekarang. Maklumat harga itu perlu didedahkan agar pelakon generasi baru dapat sedikit panduan dalam mereka meletakkan harga. Kalau saya sekarang dibayar sebanyak ini, apakah mereka juga wajar meletakkan bayaran sebanyak itu juga.” ulas Faizal mengenai perbandingan harga bayarannya.

Turut didedahkan sebab utama kehilangannya dari peta industri hiburan tempatan setelah memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Popular menerusi filem XX Ray lebih 10 tahun lalu.

Tambah Faizal lagi, buku merupakan alat paling sesuai untuk memperbetulkan maklumat-maklumat terpesong yang sering berlaku dalam industri.

Buku setebal 200 mukasurat itu yang mula dirangka sejak November tahun lalu berkisar pengalamannya sebagai anak kepada seniman Hussein Abu Hasan dan seniwati Mahyon Ismail.

“Memang saya akui tidak cukup. Perkara penting dalam hidup saya diutamakan sewaktu membuat keputusan untuk merangka buku tersebut. Saya berbincang dengan pihak penerbit untuk meletakkan perkara-perkara utama dalam hidup saya sahaja.”

“Namun, jika sambutannya baik, saya tidak kisah untuk menulis lagi.” tambah Faizal optimis selepas majlis pelancaran buku tersebut di The Annexe Gallery, Central Market pada Ahad lalu.

Faizal turut berkongsi cerita di sebalik tabir sewaktu terlibat dalam pembikinan enam filem terbaik lakonannya iaitu Gila Gila Remaja, Kanta Serigala, Bunohan, XX Ray, Leftenan Adnan dan Fantasi.

Terbaru, Faizal Hussein bakal membintangi filem Hitam Putih, filem aksi terbaru arahan Bade Haji Azmi dan sebuah telefilem berjudul Ayah Kubur Mak Masih Merah juga arahan Bade yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Berharga RM30, Limelight buku terbitan Merpati Jingga itu boleh dibeli secara online di tokobuku.fotopages.com atau pun di kedai-kedai buku terpilih.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah kakaknya, Dilla Hussein, anak saudaranya, Ayang, isteri dan dua orang anaknya serta pelakon filem Bunohan Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad