Linkin Park Buat 20 Ribu Penonton 'Menggila'

20 Aug 2013, 01:52pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas hampir sedekad mengadakan konsert di Malaysia, kumpulan metal, Linkin Park kembali beraksi di Kuala Lumpur sempena Konsert Jelajah Dunia ‘Living Things’ pada Isnin bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 8:00 malam.

Kumpulan yang pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk anugerah platinum khusus untuk kumpulan rock ini ternyata hebat apabila tampil penuh bertenaga dalam konsert yang berlangsung kira-kira dua jam itu.

Kemunculan kumpulan ini menyampaikan lagu Tinfoil sebagai pembuka tirai persembahan membuatkan 20 ribu penonton (termasuk 5000 penonton luar negara) bersorak dan melompat teruja. Maklumlah, ramai yang sudah berada di stadium beberapa jam sebelum konsert bermula.

Selesai mempersembahkan Tinfoil, Linkin tidak membuang masa menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan himpunan lagu-lagu hits mereka seperti Faint, Papercut, Waiting For The End, Numb, In The End, With You, Breaking The Habit, Lost In Echo dan What I've Done. GUA kagum dengan stamina ahli kumpulan yang berasal dari California, Amerika Syarikat ini. Lebih-lebih lagi vokalis utamanya, Chester. Dia kekal lincah, malah vokalnya juga konsisten.

Memang hebat penangan Linkin Park. Pasti mereka yang membeli tiket VIP berharga RM680 tidak berasa terkilan atau kecewa. Sebaliknya tersenyum bangga kerana menjadi salah seorang penonton Konsert Jelajah Dunia ‘Living Things’ Linkin Park. Chester Bennington, Rob Bourdon, Brad Delson, Dave 'Phoenix' Farrell, Joe Hahn  dan Mike Shinoda berjaya memukau penonton dengan aksi mereka yang bersahaja.

GUA perhatikan hujan renyai-renyai yang mengiringi konsert ini sama sekali tidak dihiraukan oleh penonton dek kerana hanyut dengan alunan muzik keras Linkin Park. Tidak keterlaluan kalau GUA katakan setiap yang hadir bagai sudah 'dirasuk' semangat Linkin Park. Sorakan dan tepukan gemuruh penonton adalah bukti kepuasan yang mereka perolehi. Pasti ada yang kehilangan suara hari ini kerana terlalu kuat menjerit ketika konsert semalam bukan?

Secara keseluruhan, GUA menganggap konsert Linkin Park ini tidak ada cacat celanya. Linkin Park tahu apa yang perlu ditonjolkan dalam konsert mereka. Sistem bunyi atau audio konsert ini memang bagus. Tak sabar rasanya hendak melihat Linkin Park beraksi lagi.

Tahniah diucapkan kepada penganjur, The Wonderland+ kerana berjaya membawa Linkin Park ke Malaysia dan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan kepada pihak media yang membuat liputan.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)