Mahu Ulangi Kehebatan Konsert Ikhlas 92!
Nantikan persembahan hebat yang menampilkan empat nama besar dalam industri muzik tanah air iaitu Zainal Abidin, Dato' Sheila Majid, Amy Search dan Jamal Abdillah di Konsert Lagenda pada 30 Jun ini yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Afrozapin Venture Sdn. Bhd., empat lagenda ini ingin mengulangi fenomena Konsert Ikhlas 1992 yang menjadi konsert terbesar yang pernah dianjurkan dengan jumlah penonton seramai 45,000 orang.
“Kami berharap konsert ini dapat memecah rekod penonton teramai seperti Konsert Ikhlas dulu”, kata Zainal di majlis sidang media Maybank-Konsert Lagenda di Hard Rock Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Konsert Lagenda ini telah menemui penonton di beberapa tempat termasuk Kota Kinabalu, Johor Bharu dan Pulau Pinang pada Mei lepas. Kuala Lumpur menjadi lokasi terakhir sebelum konsert ini melabuhkan tirainya.
Tambah Zainal, konsert di Kuala Lumpur lebih istimewa kerana ia merupakan persembahan penutup Konsert Lagenda.
“Di setiap lokasi, persembahan kami berbeza. Tapi di Kuala Lumpur lebih istimewa kerana ada penambahan lagu dan penampilan khas oleh pemain violin dari Indonesia yang akan mendendangkan lagu dari Allahyarham Tan Sri P. Ramlee”, katanya.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Azura, Jamal Abdillah berkata dia teruja untuk membuat persembahan di Konsert Lagenda.
“Bila saya menyanyi, saya menyanyi untuk diri sendiri. Jadi saya akan sentiasa memberikan yang terbaik dalam persembahan saya. Saya lagi bertambah teruja untuk mengadakan persembahan di Konsert Lagenda kerana nyanyian saya akan diiringi oleh susunan muzik professional dan pencahayaan terbaik”, kata Jamal.
Raja rock, Amy Search berkata konsert ini mempunyai satu getaran yang membuatkan penonton tidak pernah puas dengan persembahan yang diberikan.
“Saya akan memberikan yang terbaik di Konsert Lagenda kerana ianya merupakan satu persembahan yang tidak pernah puas”, kata Amy.
Tiket Konsert Lagenda berharga RM100, RM200, RM300, RM600. Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, layari www.legendary.my


