Marsha Mendambakan Watak Figura
Memegang watak hantu di dalam filem seram thriller terbaru arahan Osman Ali yang berjudul Jwanita bukanlah sesuatu yang asing bagi gadis cantik, Marsha Milan Londoh. Tidak dinafikan Marsha tampil berbeza di dalam filem terbaru terbitan Nuansa Sdn Bhd dan Ehsan Production Sdn Bhd ini.
Gadis perwatakan manja yang berasal dari Tamparuli, Sabah ini pernah melakonkan watak seram bagi siri Sumpahan KumKum dan Hantu Susu.
Menjalani penggambaran di Kemaman, Terengganu, Marsha bersyukur kerana tidak mendapat sebarang gangguan dari benda- benda halus. Tidak menafikan kehendak watak agak mencabar, Marsha menyifatkan pengalaman yang ditempa begitu berharga.
“Watak ini agak menguji fizikal kerana banyak melibatkan aksi-aksi dan pegerakan yang dibuat sendiri oleh saya tanpa bantuan pelagak ngeri. Walaupun agak memenatkan namun saya berpuas hati dengan hasilnya,” kata Marsha ketika ditemui di majlis berbuka puasa Astro di Hotel Royal Bintang semalam.
Marsha turut menambah yang dia terpaksa memperuntukkan masa yang agak lama untuk make up bagi menjayakan wataknya di dalam filem tersebut. Dia juga mendapat sedikit “buah tangan” iaitu lebam-lebam kesan babak aksi yang dilakonkan sendiri.
Ketika ditanyakan watak idaman, Marsha mendambakan watak figura terkenal seperti Tun Dr Siti Hasmah yang mampu memberikan impak kepada masyarakat. Ini bukanlah bermakna Marsha sudah jelik dengan watak yang sinonim dengan dirinya yang manja namun dia ingin mencuba sesuatu yang lain dari dirinya.
Dilihat ligat menapak dalam bidang seni melalui lakonan dan juga mengacara, Marsha sama sekali tidak meminggirkan bidang nyanyian. Dia bakal bergandingan bersama Randy Pangalila buat pertama kalinya pada 5 Ogos depan menerusi lagu Aku Milikmu yang menjadi sountrack drama bersiri Dalam Hati Ada Taman.


