Mawi Tak Harap Asma Ul Husna Lonjakkan Nama
Asmawi Ani atau Mawi pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu. Ketika itu, Mawi digilai oleh peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latarbelakang. Bahkan, dia juga menjadi rebutan pelbagai pihak. Namun, sinaran bintang penyanyi ini semakin hari semakin malap dan namanya kini tidak sepopular atau sehangat dahulu. Biarpun tetap muncul dengan album baru, namun popularitinya tidak sehebat dahulu.
Kini, sempena bulan Ramadhan ini, Mawi muncul dengan album terbaru berkonsep kerohanian berjudul Asma Ul Husna yang mengagungkan nama-nama Allah. Album ini sudah pun terjual hampir 8,000 unit dalam tempoh seminggu dipasarkan. Ia satu pencapaian yang cukup memberansangkan kerana bukan mudah menjual album ketika ini. Persoalannya, adakah Mawi mengharapkan album ini melonjakkan namanya seperti dahulu?
“Saya pun tidak sangka album ini boleh terjual sebanyak itu dalam tempoh seminggu. Bagaimanapun, saya tidaklah mengharapkan Asma Ul Husna ini boleh mengembalikan populariti saya dahulu. Bukan senang hendak sampai ke tahap itu,” ujar Mawi yang ditemui baru-baru ini.
Dengan perkembangan positif itu, Mawi turut ditanya sama ada akan terus beralih arah kepada irama nasyid atau sebaliknya. Ini kerana kedua-dua album kerohaniannya sebelum ini iaitu Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu dan Allah Habeebi turut mendapat sambutan sangat baik.
“Irama nasyid ini memang tidak asing kepada saya. Sejak sekolah lagi saya sudah didedahkan dengan irama ini. Apabila saya masuk ke dalam industri, barulah saya sedar irama ini punya peminat dan pasarannya sangat luas. Bagaimanapun, buat masa ini saya belum terfikir untuk terus mengubah haluan muzik. Saya akan buat album kerohanian sebagai projek istimewa. Dalam masa yang sama, saya akan tetap muncul dengan lagu-lagu pop ataupun balada. Saya rasa peminat masih bagi sokongan terhadap saya,” ujar Mawi yang baru muncul dengan single terbaru , ‘Termolek’.
Berbalik kepada album Asma Ul Husna, Mawi memberitahu idea untuk menerbitkan album itu bermula kira-kira dua tahun dahulu. Ia adalah terbitan Arteffects Sdn Bhd dan Mawi World Entertainment serta kerjasama pihak Astro. Jelas Mawi, dia berasa sangat puas hati dengan album ini kerana dia diberikan kebebasan untuk menyanyikan lagu-lagu yang telah dicipta oleh Hafiz Hamidun.
Album ini memuatkan 10 buah lagu kesemuanya. Setiap lagu mempunyai 11 nama-nama Allah yang dipecahkan menjadi sembilan melodi berlainan. Bagi yang ingin mendapatkan album ini, bolehlah dapatkannya di kedai-kedai buku agama dan stor muzik utama. Selain itu, anda juga boleh menghubungi 03-7727 1297 untuk tempahan melalui pos. Setiap album berharga RM19.90 sahaja.


