Media Prima & Dutch Lady Meraikan Pemenang C.O.C
Peraduan Chief Official Correspondent (C.O.C), anjuran Media Prima Berhad (MPB) dengan kerjasama Dutch Lady Malaysia, yang telah berlangsung dari 17 Mei sehingga 18 Jun 2012 sudah pun menemui tiga pemenangnya.
Pasukan ibu dan anak Nurul Ain Tay Chui Chui dan Adam Aliff Tay bin Rozaki, 11 tahun, dari Kuala Lumpur; Nurbaiti bt Mohd Zain dan Yzmeen Saniah bt Zainuddin, 11 tahun, juga dari Kuala Lumpur; serta Nurulainy Mohd Noor dan Nurul Deena Ellysha, 7 tahun, dari Pulau Pinang telah diumumkan sebagai pemenang berdasarkan penyertaan video 30 saat mereka di dalam satu majlis ringkas bertempat di Sri Pentas, Bandar Utama petang tadi.

Mereka memenangi hadiah berupa perjalanan menyaksikan Olimpik 2012 di mana kesemua perbelanjaan mereka akan ditanggung. Mereka juga berpeluang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 untuk tempat pertama, RM3,000 (tempat kedua) dan RM2,000 (tempat ketiga) berdasarkan prestasi mereka untuk tugasan yang diberikan.

Di sana nanti, mereka akan diberikan tugas sebagai wartawan penyiaran untuk memberi laporan terkini kepada semua warga Malaysia melalui laporan berita harian, rancangan temubual, radio, secara blog, laman sosial dan laman sesawang rasmi inisiatif Olimpik MPB, Impian Emas Negara di www.impianemasnegara.com.my. Hasil kerja mereka akan di nilai para pelayar yang seterusnya akan mengundi siapa dirasakan paling layak membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000. Undian bermula 2 Ogos.

MPB juga bakal menerbangkan pengacara The Breakfast Show, siaran ntv7, Aishah Sinclair ke London untuk menghadiri majlis buka puasa yang dikendalikan Dutch Lady Malaysia buat para atlet Malaysia dan ibu mereka.

Impian Emas Negara merupakan satu inisiatif Olimpik MPB yang bakal membawa harapan tertinggi negara dalam menggapai pingat emas Olimpik pertama selain memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menghulurkan sokongan mereka kepada kontinjen kebangsaan di sukan Olimpik 2012 yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos 2012.


