Mentor 6 - Caroline Jadi Rebutan Syarikat Rakaman
Mentor 6 menyaksikan satu lagi mentor berjaya membuktikan pengaruh dan didikannya membawa jaya. Protégé Ella, Caroline berjaya muncul selaku juara Mentor 6 sekaligus menempatkan Caroline ke dalam ‘Hall of Fame’ Mentor bersama-sama Pija, Fiq, Black, Mohd dan Salma. Seakan menepati ramalan pelbagai pihak, kemenangan Caroline malam semalam dilihat sebagai sebuah kemenangan yang cukup bermaruah untuk pasangan mentor dan protégé berkenaan.
“ Ella terharu dan gembira malam ini. Tak sia-sia Ella ajar Caroline untuk jadi seorang protégé yang baik. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Bagi Ella, Caroline seorang student yang bagus dari segi cara dia belajar dan Ella harap rancangan Mentor akan diteruskan lagi pada masa hadapan “, ujar Ella.
“ Ella sangat berbesar hati mendapat Caroline selaku protégé. Ella suka cara dia hargai kerja, pelajaran, keluarga dan semua yang ada di sekeliling dia. Bagi Ella, Caroline seorang pelajar yang pintar. Dia ada intelektual dalam muzik dan berkemampuan untuk buat semua genre muzik yang merupakan satu kelebihan untuk Caroline “.
“ Bagi Ella, Caroline sangat bertuah kerana dikurniakan bakat sebegitu besar dan Ella bertuah sebab dapat Caroline. Selepas ini, kita akan bantu Caroline ‘push’ single beliau dan barulah rancangan untuk rakamkan album dan sebagainya akan kita aturkan “.
Caroline yang sebenarnya berada dalam keadaaan kesihatan yang kurang baik menyatakan rasa gembiranya apabila dinobatkan selaku juara Mentor 6.
“ Saya bersyukur sangat-sangat dan sejujurnya memang kemenangan malam ini tak diduga. Caroline pun berada dalam keadaan batuk tapi Kak Ella tak putus-putus bagi harapan pada Caroline. Batuk yang Caroline alami sejak separuh akhir kedua itu sebenarnya disebabkan tak cukup tidur dan latihan yang banyak “, jelas Caroline yang berjaya membawa pulang wang tunai RM 100,000.
Ketika ditanyakan mengenai perancangan Ella dan Caroline terhadap wang kemenangan mereka berdua, Ella menjawab strategi akan dilaksanakan untuk memperbaiki Caroline menjadi seorang penyanyi yang lebih baik dan bijak mengawal diri di atas pentas.
“ Selepas ini kita akan fokus kepada kerjaya seni Caroline. Ella akan hantar Caroline pergi kelas muzik dan banyak lagi kelas untuk Caroline kembangkan dan explore bakat yang Caroline ada. Banyak lagi yang Caroline ada untuk peminat di luar sana “, ujar pelantun Layar Impian ini.
GUA difahamkan juga sebelum konsert akhir bermula, Caroline sudah pun menerima tawaran oleh beberapa syarikat rakaman untuk bernaung di bawah pengurusan mereka. Ternyata bakat besar yang Caroline miliki membuka mata penggemar muzik tempatan untuk menjadikan beliau sebagai pelapis nyanyian tanahair.
“ Ella akui banyak tawaran yang sudah diterima Caroline untuk merakamkan album. Buat masa ini, kita ‘hold’ dahulu sebab kita betul-betul nak fikir dan buat keputusan yang bijak. Kita nak jaga kualiti dari segi kualiti sesebuah karya itu dan juga kenal pasti arah tuju muzik Caroline “, ujar Ella.
Mengakui lebih cenderung ke arah muzik R n B dan Pop, Caroline berjaya memukau sekalian penonton Stadium Malawati Shah Alam dengan rendisi tersendiri lagu My Love dan I Don’t Wanna Miss A Thing serta duet bersama Lan menerusi lagu milik penyanyi nombor satu negara Dato’ Siti Nurhaliza, Kau Kekasihku.


